Tuesday, March 10, 2015

MISTERI - Meremang di Kellie's Castle




SUASANA petang di Kellie's Castle, Batu Gajah. - Foto Asyraf Hamzah
 
KISAH seram lazimnya dihubungkaitkan dengan unsur mistik, makhluk halus dan misteri.

Masyarakat pula sering dimomokkan dengan kisah seram, sekali gus menakutkan orang ramai, walhal cerita tersebut tidak semestinya lahir daripada sumber sahih dan benar.

Walaupun menyeramkan dan dikaitkan dengan mistik, tetapi kisah seram ini semakin menarik minat orang ramai untuk menerokanya dengan lebih mendalam.

Di barat, aktiviti yang dikenali sebagai paranormal ini dilakukan secara saintifik untuk membuktikan kewujudan makhluk halus atau hantu. Mereka mengesan pergerakan hantu dengan peralatan visual dan audio berteknologi.

Penulis dan jurugambar merasai sendiri pengalaman menyeramkan ketika menyertai Pelancongan Malam Paranormal - Merungkai Fakta Misteri di Istana Kellie atau Kellie's Castle di Batu Gajah, Perak.


SUASANA malam di Kellie's Castle, Batu Gajah. - Foto Asyraf Hamzah
 
Perasaan berdebar

Rakan media yang menyertai aktiviti ini dibahagikan kepada dua kumpulan. Penulis dan jurugambar diletakkan dalam kumpulan kedua, memasuki Kellie's Castle sekitar jam 11.30 malam. Kumpulan ini ditemani dua petugas Kellie's Castle yang akan mengawasi setiap pergerakan di dalam istana lama itu.
Kami dibekalkan dengan lampu suluh. Seorang ustaz juga dipertanggungjawabkan memantau aktiviti yang berlaku di bangunan itu sekiranya ada situasi yang tidak diingini terjadi.

Perasaan berdebar-debar tidak mampu disembunyikan apabila kami menjadi kumpulan pertama di Malaysia yang diberi peluang memasuki Kellie's Castle pada waktu hampir tengah malam.

Kami diberi penerangan oleh petugas mengenai setiap ruangan yang ada dalam bangunan ini. Bersebelahan Kellie's Castle terdapat tapak rumah kayu yang menjadi kediaman awal pemiliknya, William Kellie Smith ketika dia masih bujang.


PARANORMAL Tour yang memberi peluang kepada para pengunjung merasai suasana malam di Kellie's Castle, Batu Gajah. - Foto Asyraf Hamzah
 
Bilik bawah tanah

Bersebelahannya pula Rumah Kuning yang menjadi kediaman Smith sekeluarga. Seterusnya kami dibawa meninjau lokasi bilik bawah tanah yang menempatkan bilik fotografi dan simpanan arak.

Suasananya memang menyeramkan, namun penulis kuatkan semangat. Kemudian kami dibawa ke aras satu yang menempatkan bilik linen iaitu tempat tukang dobi dari Madras, Mr Gopal pernah bertugas di situ dulu. Tuhan saja yang tahu perasaan ketika itu, tetapi penulis berniat di dalam hati bahawa kedatangan itu hanya untuk bekerja dan memohon tidak diganggu.

Bersebelahannya ialah bilik anak perempuan Smith, Helen. Menurut jurupandu kami, di situlah beberapa pengunjung sebelum ini pernah terdengar suara kanak-kanak perempuan sedang menangis. Meremang bulu roma apabila mendengar cerita itu.

Telinga berdengung, pipi 'ditampar' hantu

Lokasi terakhir ialah di Balkoni Serambi Berhantu apabila kedudukannya bersebelahan bilik Helen dan bilik tidur utama Smith dan isterinya, Agnes. Lokasi terbuka berhampiran pokok besar menjadikan kawasan itu berangin sekali-sekala yang boleh meremangkan bulu roma!

Daripada lapan orang, akhirnya kami dipecahkan satu kumpulan kepada dua wakil media saja bagi setiap bahagian istana ini. Penulis dan jurugambar memilih untuk ditempatkan di Balkoni Serambi Berhantu itu, manakala wakil media lain ditempatkan di lokasi yang 'berpotensi besar' bertemu dengan entiti paranormal.

Ketika itu jam menunjukkan tepat 12 tengah malam. Petugas mengarahkan penulis dan jurugambar untuk duduk di satu sudut di balkoni berkenaan. Penulis dan jurugambar diminta tidak bersembang, selain mematikan lampu suluh. Seterusnya kami diminta mengamati suasana persekitaran yang sunyi ditambah kepekatan malam. Sekiranya berlaku insiden diganggu tetamu tak diundang, petugas meminta kami menjerit sekuat hati dan mereka akan datang memberi bantuan.

Diperhati makhluk halus

Sepanjang tempoh 'bertapa' kira-kira 15 minit itu, penulis hanya membaca surah al-Fatihah berulang kali, selain berselawat. Agak menghairankan, jurugambar sering bertanya kepada penulis, adakah tempoh 15 minit itu sudah tamat atau belum. Penulis pula tidak menghiraukan pertanyaannya, sebaliknya meminta dia bertenang.

Apabila cukup masa ditetapkan, petugas membawa kami keluar dari bangunan berkenaan. Bagaimanapun, penulis dan jurugambar tiba-tiba dihampiri ustaz. Dia memicit ibu jari tangan kanan penulis sambil membaca sepotong ayat al-Quran. Lalu dia memaklumkan, ada entiti paranormal yang memerhatikan gerak-geri penulis ketika berada di balkoni berkenaan, namun ia tidak datang dekat. Berderau juga mendengar penjelasan itu, namun penulis bersyukur kerana tidak diganggu.


PARANORMAL Tour yang memberi peluang kepada para pengunjung merasai suasana malam di Kellie's Castle, Batu Gajah. - Foto Asyraf Hamzah
 
Suasana seram

Ketika kami dalam perjalanan kembali ke Kompleks Pelancongan Kellie's Castle, seorang rakan media memberitahu penulis, ustaz berkenaan memaklumkan mereka, seorang daripada anggota kumpulan kami ada membawa 'barang' sebagai pelindung diri ketika memasuki Kellie's Castle. Penulis membuat pengakuan, sebenarnya ada membawa surah Yasin di dalam beg galas ketika memasuki istana berkenaan.

Lain pula cerita jurugambar, rupa-rupanya dia diganggu beberapa kali apabila beliau berasakan seperti telinga berdengung seolah-olah ditampar dengan kuat di pipi. Namun, selepas ustaz membuat perkara sama ke atas dirinya, ternyata dia bebas dan tidak ada entiti paranormal yang mengikutnya pulang.


PARANORMAL Tour yang memberi peluang kepada para pengunjung merasai suasana malam di Kellie's Castle, Batu Gajah. - Foto Asyraf Hamzah
 
Expedia iktiraf lokasi paling seram

Idea untuk memperkenalkan Pelancongan Malam Paranormal atau Paranormal Night Tour Kellie's ini adalah susulan daripada pengalaman Pengurus Besar Istana Kellie, Zamari Muhyi yang dikatakan pernah 'berkomunikasi' dengan roh tukang dobi dari Madras, India, Mr Gopal yang pernah bekerja dengan keluarga Smith. Selain itu, Zamari juga pernah mendengar suara pelik dalam bangunan itu.

Program ini bukan bertujuan menakut-nakutkan atau memomokkan pengunjung bahawa Kellie's Castle berhantu, jauh sekali untuk memesongkan akidah. Sebaliknya, ia bagi memberi peluang kepada pengunjung satu pengalaman unik atau merasai keadaan seram dan gelap ketika berada di Kellie's Castle pada waktu malam dalam situasi selamat, selesa dan terkawal.

Sekiranya bernasib baik, pengunjung boleh terserempak dengan entiti paranormal.


PENULIS ketika menyertai Paranormal Tour di Kellie's Castle, Batu Gajah. - Foto Asyraf Hamzah
 
Waktu larangan

Program ini juga bertujuan merungkai fakta entiti paranormal yang mungkin terdapat di dalam Kellie's Castle sehingga destinasi pelancongan di Batu Gajah ini dikategorikan antara lima lokasi paling seram di Malaysia apabila diiktiraf oleh pengkaji paranormal antarabangsa dan portal pelancongan Expedia dari Amerika Syarikat.

Bagi tujuan itu, pelancong hanya dibenarkan berada di lokasi berkenaan sehingga jam 6 petang saja. Sekitar jam 5.30 petang hingga jam 7.30 malam dan jam 2 pagi hingga jam 3 pagi adalah waktu puncak hantu Kellie's Castle keluar berpeleseran mencari mangsanya!

Ketika penulis dan jurugambar tiba di Kellie's Castle sekitar jam 6.30 petang untuk merakamkan gambar istana itu berlatar belakangkan cahaya matahari terbenam, petugas tidak membenarkan kami menghampiri pagarnya yang berkunci.

Program Pelancongan Malam Paranormal ini dilancarkan oleh Pelancongan Malaysia Perak dengan kerjasama Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia.Ia dirasmikan oleh Ahli Majlis Daerah Batu Gajah, Datuk Syed Aminuddin mewakili Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah, Datuk Jamry Sury.


SUASANA petang di Kellie's Castle, Batu Gajah. - Foto Asyraf Hamzah
 
Sejarah Kellie's Castle

Kellie's Castle atau Istana Kellie juga dikenali sebagai Rumah Kellas (Kellas House) dibina pada 1910 oleh peladang getah British, William Kellie Smith. Bangunan tiga tingkat ini dibina mengikut reka bentuk istana Moghul di Agra, India. Buruh binaan Kellie's Castle dibawa khas dari Madras, India.

Ketika di Tanah Melayu, Smith bersama pemilik hartanah, Alma Baker, memenangi konsesi untuk meneroka 360 hektar hutan di Batu Gajah, Perak. Menerusi keuntungan besar yang dibuat daripada perniagaan bersama antara Baker dan Smith, dia membuka ladang getah dan lombong bijih timah dikenali Syarikat Perlombongan Timah Kinta (Kinta Kellas Tin Dredging Company). Smith kembali ke England untuk berkahwin dengan gadis Scotland, Agnes. Dia membawa isterinya kembali ke Tanah Melayu pada 1903. Tahun berikutnya, pasangan ini dikurniakan anak perempuan iaitu Helen.

Agnes melahirkan seorang anak lelaki bernama Anthony pada 1915. Kelahiran Anthony membawa keuntungan berlipat ganda dalam empayar perniagaan bapanya. Bagi meraikan kelahiran Anthony, Smith memutuskan untuk meluaskan lagi rumah yang didudukinya dikenali sebagai Rumah Kuning yang dibina ketika mula berhijrah ke Tanah Melayu pada 1890. Bersebelahan Rumah Kuning itu ada sebuah rumah kayu atau rumah asal Smith ketika bujang, namun kini hanya tinggal tapak saja selepas dibom tentera Jepun.
Smith memulakan perancangan membina istana besar dinamakan Kellas House sempena nama rumahnya di Scotland, namun lebih dikenali sebagai Kellie's Castle. Bangunan ini mempunyai 14 bilik termasuk bilik linen, bacaan, fotografi, simpanan arak dan bilik bawah tanah yang dilengkapi terowong rahsia berserta kemudahan lif yang pertama dibina seumpamanya di Tanah Melayu, selain terowong udara. Di aras dua bangunan itu pula dibina padang tenis berlantaikan simen.

Kellie's Castle tidak sempat disiapkan apabila Smith meninggal dunia di Pelabuhan Lisbon, Portugal pada 11 Disember 1926 kerana dijangkiti radang paru-paru. Perniagaan Smith merosot apabila 70 pekerjanya dari India mati dijangkiti selesema Spanish. Agnes pulang ke England apabila Anthony terkorban dalam pertempuran ketika Perang Dunia Pertama, manakala Helen pula tiba-tiba menghilangkan diri.

Istana Kellie sempat disiapkan kira-kira 70 peratus saja. Apa yang pasti, semua anggota keluarga Smith tidak mati di dalam bangunan itu. Mereka hanya sempat mendiami Rumah Kuning saja (bersebelahan Kellie's Castle).

Struktur bangunan Kellie's Castle yang kekal hingga kini dalam keadaan separuh siap atau masih dalam pembinaan menjadi tarikan pengunjung tempatan atau pelancong luar negara ke Batu Gajah, Perak kerana keunikannya, selain rumah agam itu yang dikatakan berhantu.

Sehingga hari ini, banyak fakta misteri mengenai Kellie's Castle masih belum terungkai. Difahamkan, keadaan di persekitaran dan di dalam Kellie's Castle itu 'keras' dan menyeramkan kerana faktor penjajahan Jepun di Tanah Melayu suatu ketika dulu apabila menjadikan bangunan separuh siap itu sebagai tempat menyeksa dan membunuh penduduk kampung. Konon ceritanya, ramai yang terkorban di situ, justeru lokasi berkenaan dikatakan berhantu, namun keadaan itu dikaitkan dengan kematian keluarga Smith, tetapi fakta ini tidak benar.

Bagaimana hendak ke sana?

- Menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), anda boleh mengambil susur keluar ke Plaza Tol Batu Gajah atau Simpang Pulai.
- Selepas keluar Plaza Tol Simpang Pulai, ambil simpang ke kiri.
- Kira-kira tiga kilometer anda akan menemui simpang ke kanan menuju ke Batu Gajah (Kellie's Castle).
- Jika dari Plaza Tol Batu Gajah, selepas keluar dari plaza tol, ambil ke kanan menuju ke Ipoh.
- Kira-kira enam kilometer, anda menemui simpang dan belok ke kiri menuju ke Batu Gajah (Kellie's Castle).

Program Paranormal Kellie's Castle

- Bayaran menyertai aktiviti ini adalah RM80 seorang (termasuk insurans).
- Dibuka empat hari saja sebulan setiap Jumaat dan Sabtu iaitu dua hari pada minggu pertama dan dua hari pada minggu terakhir.
- Terhad kepada 40 orang saja setiap malam.
- Terbuka untuk pengunjung berumur 17 tahun ke atas saja.
- Mereka yang lemah semangat, masalah jantung, darah tinggi dan perempuan sedang haid dilarang menyertai program ini.
- Untuk maklumat dan tempahan lanjut, boleh menghubungi pejabat urusan Kompleks Pelancongan Kellie's Castle dari jam 9 pagi hingga jam 6 petang setiap hari
SUASANA petang di Kellie's Castle, Batu Gajah. - Foto Asyraf Hamzah
 

1 comment:

Jasmi Aldebaran Bakri said...

pengen juga ngerasain paranormal tour. pertama kali datang ke kellie's castle blm ada yang beginian. dan juga gak sempet masuk karna udah sore..