Monday, March 2, 2015

Pembuat Bom Abu Sayyaf Terbunuh

KUALA LUMPUR: Pakar bom yang juga anggota militan Abu Sayyaf paling dikehendaki, Abdul Basit Usman dilapor terbunuh selepas bertempur dengan tentera di Maguindanao, lapor Angkatan Tentera Filipina (ATF), semalam.

Ketua Hal Ehwal Awam, Kolonel Harold Cabunoc menerusi laman Twitter mengesahkan kematian Abdul Basit.

"Pengganas Tausug pakar pembuat bom, Abdul Basit Usman dilapor dibunuh oleh tentera di Maguindanao," katanya.

Abdul Basit adalah antara pengebom yang paling dikehendaki pihak berkuasa Filipina dalam satu operasi di Mamasapano, Maguindanao, 25 Januari lalu.

Pertempuran itu juga telah mengorbankan 44 anggota pasukan tindakan khas polis dan 18 pejuang Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

Operasi itu juga berjaya membunuh seorang militan rakyat Malaysia yang juga rakan Abdul Basit, Zulkifli Hir Alias atau Marwan, yang juga seorang daripada sasaran dalam operasi itu.

Bagaimanapun, pada 13 Februari lalu, Gabenor Maguindanao, Esmael Mangudadatu berkata, Basit dipercayai hanya cedera dan mungkin bersembunyi di Mamasapano di Maguindanao.

Dalam satu temu bual di radio dzBB, Mangudadatu juga berkata, Usman cedera di bahu dan masih bersembunyi sekitar bandar itu. - Agensi  sumber

No comments: