Tuesday, March 24, 2015

Raja England Dikebumi Selepas 530 Tahun

Keranda Raja Richard III diarak di bandar Leicester di tengah

LONDON 23 Mac - Raja terakhir England, Raja Richard III, yang maut ketika berperang kira-kira 530 tahun lalu, akhirnya bakal disemadikan dalam acara pengebumian besar-besaran selama lima hari di Britain yang bermula semalam.

Rangka Richard III ditemukan tertanam di bawah sebuah kawasan tempat letak kereta di Leicester City pada 2012. Kira-kira 35,000 penduduk England semalam berbaris di jalan-jalan di Leicester bagi melihat keranda pemerintah England itu yang diarak sebelum majlis pengebumiannya Khamis ini.

Raja Zaman Pertengahan itu akan disemadikan di Gereja Leicester di tengah England, dalam satu acara yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen. Pelbagai acara diatur sepanjang lima hari pengebumian itu yang bermula semalam, menyaksikan warisnya dan ahli arkeologi yang mengeluarkan rangkanya meletakkan ros putih di atas keranda mendiang. Keranda itu kemudiannya di­bawa ke Bosworth, lokasi beliau gugur di medan perang dengan kebanyakan penduduk memakai pakaian pada Zaman Pertengahan dan pakaian tentera. Tembakan meriam sebanyak 21 das turut dilepaskan sebagai penghormatan kepada pemerintah itu.

 Kematian Richard III disifatkan sebagai ‘satu saat luar biasa’ dalam sejarah England. “Kematiannya merupakan satu perubahan dinasti, penamat kepada tempoh keganasan perang saudara, permulaan bagi tempoh yang menyaksikan Shakespeare menulis, dan cara berbeza untuk mentadbir negara,’’ kata Biskop Leicester, Tim Stevens.

Richard III merupakan dinasti terakhir Plantagenet yang mentadbir England dari 1483 sehingga beliau dibunuh berhampiran Leicester oleh tentera yang setia kepada Henry Tudor yang kemudiannya dikenali sebagai Raja Henry VII. Peristiwa itu merupakan konflik besar terakhir dalam ‘Wars of the Roses’ yang merupakan siri perang dinasti bagi merebut takhta England yang menyaksikan kekalahan Richard III, sehingga takhta bertukar tangan dari ‘House of York’ kepada ‘House of Tudor’. – AFP  sumber

No comments: