Monday, March 30, 2015

SAUDI - 2 Polis Cedera Ditembak dI Riyadh



RIYADH: Dua anggota polis Arab Saudi cedera ditembak di Riyadh semalam, sehari selepas negara itu meningkatkan langkah keselamatan selepas mengetuai serangan udara terhadap Yaman.

"Satu pasukan peronda keselamatan sedang melaksanakan tugas di Riyadh apabila ia diserang penembak berkenderaan dalam serangan yang mencederakan dua anggota polis," kata seorang jurucakap dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita rasmi SPA.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua anggota polis itu dimasukkan ke hospital dan keadaan mereka adalah stabil.

Pihak berkuasa sedang menyiasat kejadian itu.

Serangan itu berlaku sehari selepas Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, Putera Mohammed Nayef mengarahkan langkah keselamatan dipertingkatkan di sepanjang sempadan dan di seluruh negara selepas Riyadh mengetuai serangan udara ke atas pemberontak Syiah yang disokong Iran di Yaman.

Pada 22 Mac, Amerika Syarikat menyambung semula perkhidmatan konsular di Arab Saudi selepas penutupan selama seminggu berikutan "kebimbangan mengenai keselamatan" yang tidak dinyatakan.

Warga Barat di Arab Saudi diserang sebanyak empat kali sejak Oktober tahun lalu, termasuk serangan oleh penembak berkenderaan seperti kejadian semalam yang mencederakan seorang warga Denmark di Riyadh pada 22 November.

 Pihak berkuasa kemudian menahan tiga individu yang disyaki penyokong IS. - AFP
 sumber

No comments: