Thursday, March 12, 2015

SEMESTA - Angkasawan Naiki Soyuz Kembali ke Bumi



CAPE CANAVERAL: Seorang angkasawan NASA dan dua angkasawan Russia berpindah ke dalam kapsul Soyuz dan beredar meninggalkan Stesen Angkasa Antarabangsa selepas hampir enam bulan berada di orbit, lapor Televisyen NASA.

Komander Stesen NASA, Barry "Butch" Wilmore dan jurutera pesawat, Alexander Samokutyaev serta Elena Serova, dari agensi angkasa Russia, Roscosmos, memasuki kapsul Soyuz pada kira-kira jam 3.30 petang waktu tempatan, kapal angkasa yang sama membawa mereka ke orbit pada 25 September lalu.
Kira-kira tiga jam kemudian, Soyuz melepaskan kedudukan mereka dari stesen berkenaan untuk melakukan misi mendarat di Kazakhstan.

"Selamat mendarat. Kami akan merindui anda," kata komander stesen, Terry Virts.

Virts, yang kini mengambilalih pengendalian di stesen berkenaan daripada Wilmore, akan terus berada di angkasa bersama angkasawan, Anton Shkaplerov dan angkasawan Itali, Samantha Cristoforetti. Mereka dijangka pulang pada pertengahan Mei.

Wilmore bergandingan dengan Virts ketika berjalan di angkasa sebanyak tiga kali pada tempoh antara 21 Februari dan 1 Mac sebagai persiapan untuk membuat tempat parkir bagi dua teksi kapal angkasa komersial yang disewa NASA bagi membawa anak kapal pergi dan kembali dari stesen pada 2017.

Angkasawan NASA dijangka membuat empat lagi perjalanan di angkasa sebelum hujung tahun bagi memasang dok berlabuh baharu dan peralatan lain untuk kapal angkasa. - Reuters sumber

No comments: