Sunday, March 29, 2015

YAMAN - Presiden Lari ke SAUDI

Presiden Yemen, Abdrabbuh Mansour Hadi (kiri) diiringi Menteri

JEDDAH 27 Mac – Presiden Yemen, Abdrabbuh Mansour Hadi selamat tiba di Arab Saudi selepas me­larikan diri dari kubu kuatnya di Aden, ketika Jeddah mengetuai 10 negara Arab terus menggempur kedudukan pemberontak Syiah Houthi masuk hari kedua berturut-turut, hari ini.

Rangkaian berita tempatan menyiarkan rakaman Abdrabbuh berjabat tangan dengan Menteri Pertahanan Arab Saudi, Mohammed bin Salman Al Saud yang me­nyambut beliau di lapangan terbang Riyadh dan pemimpin Yemen itu menyatakan hasrat untuk menghadiri satu persidangan negara-negara Arab di Mesir esok. Pengarah Pejabat Abdrabbuh, Mohammed Marem mengesahkan kehadiran Abdrabbuh pada persidangan itu, sekali gus membatalkan pelan asal untuk berucap melalui rangkaian video.

Menteri Luar Yemen, Riyadh Yaseen berkata, Abdrabbuh dilapor mahu meraih sokongan pemimpin Arab berhubung “Pelan Marshal” bagi membantu negaranya yang dilanda perang, pelan yang sama digunakan untuk membantu ekonomi Eropah selepas Perang Dunia Kedua. Bagaimanapun tidak dapat di­pastikan sama ada Abdrabbuh berhasrat untuk pulang ke Aden dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, tentera pakatan yang diketuai Arab Saudi melancarkan serangan udara masuk hari kedua berturut-turut, hari ini ke atas pangkalan tentera udara dan darat yang masih setia kepada bekas Presiden Ali Abdullah Salleh kerana membantu kemaraan pemberontak Houthi. Angka korban akibat serangan di Sanaa meningkat kepada 39 orang, selepas 12 orang maut dalam serangan udara di pangkalan tentera di utara Sanaa, semalam.

Saksi kejadian berkata, pesawat tentera pakatan menggempur pangkalan Al-Samaa yang dipercayai digunakan oleh tentera untuk menerima arahan daripada bekas komander, Ahmed Ali Salleh. Ahmed merupakan anak lelaki kepada bekas Presiden Ali, yang dituduh bersekutu dengan pemberontak Houthi untuk menentang Abdrabbuh. Menurut saksi, tiga serangan dilancarkan ke atas kediaman Presiden di selatan Sanaa selepas lokasi itu ditawan oleh pemberontak Houthi pada bulan lalu. Kubu kuat briged tentera yang setia kepada Ali di wilayah timur Marib turut digempur, manakala sebuah depot senjata juga dibom oleh tentera pakatan. – REUTERS/AFP sumber

No comments: