Wednesday, April 15, 2015

Boko Haram Sudah Culik Lebih 2,000 Wanita



DAKAR/LONDON: Kumpulan Boko Haram menculik lebih 2,000 gadis dan wanita sejak tahun lalu dan menjadikan mereka sebagai tukang masak, hamba seks dan askar selain membunuh mereka yang enggan berbuat demikian, menurut Amnesty International. Laporan 90 muka surat berdasarkan puluhan temubual dengan saksi dan mangsa yang dapat melarikan diri oleh kumpulan hak asasi manusia itu dikeluarkan setahun selepas kumpulan militan itu menculik lebih 220 pelajar perempuan di Chibok, penempatan pedalaman di timur laut Nigeria.

Penculikan itu mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa tetapi sebahagian besar daripada gadis dan wanita berkenaan masih hilang biarpun negara Barat berikrar untuk mengesan mereka dan Chad berusaha merundingkan pembebasan mereka. Pemimpin Boko Haram, Abubakar Shekau, mendakwa gadis berkenaan sudah "dikahwinkan" dengan pejuangnya.

Laporan Amnesty itu menyatakan Boko Haram sering menculik gadis dan wanita selepas menawan sesebuah pekan dan menahan mereka di rumah atau lokap. Seorang gadis berusia 19 tahun memberitahu Amnesty bagaimana dia diculik pada satu majlis perkahwinan bersama pengantin perempuan dan kakak pengantin lalu ditahan di sebuah kem latihan di Madagali bersama ratusan pejuang wanita.

 "Saya adalah antara gadis yang dilatih untuk menembak. Saya juga dilatih menggunakan bom dan menyerang kampung," katanya yang beberapa kali dirogol secara bergilir-gilir oleh anggota kumpulan militan itu. Boko Haram dipercayai sudah membunuh ribuan mangsa dalam kempen keganasan sejak enam tahun lalu. Namun, tentera Nigeria bersama tentera negara jiran - Chad, Cameroon dan Niger - baru-baru ini berjaya menawan semula wilayah yang dirampas Boko Haram. - Reuters sumber

No comments: