Pakar pergerakan lapisan bumi Universiti Cambridge, James Jackson hari ini berkata, menurut data awal seismologi yang diperoleh menggunakan gelombang bunyi yang bergerak melalui Bumi selepas bencana itu, kedudukan tanah di bawah Kathmandu mungkin berge­rak kira-kira tiga meter ke arah selatan.
Analisis yang dilakukan Jackson sama dengan yang diperoleh ketua Jabatan Sains Fizikal Universiti Ade­laide.
Dalam pada itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ber­kata, sebanyak lapan juta orang mengalami kesan buruk akibat gempa bumi terbabit.
Badan dunia tersebut berkata, 1.4 juta orang memerlukan bantuan makanan walaupun bantuan antarabangsa kini mula tiba di tempat kejadian.
Perdana Menteri Nepal, Sushil Koirala memberi amaran, angka kematian boleh mencecah sehingga 10,000 orang.
Pegawai berkata, setakat ini ang­­ka mangsa yang cedera kepada hampir 8,000 orang.
Gegaran susulan masih melanda Nepal menyebabkan penduduk takut untuk kembali ke rumah mereka malam tadi, malam ketiga sejak gempa bumi berlaku pada hujung minggu lalu.
Bekalan makanan, air, dan elektrik semakin berkurangan dan timbul kebimbangan penularan pe­nyakit berjangkit. – AFP/Reuters