Friday, April 10, 2015

IS Bebaskan 227 Etnik Yazidi, 8 Bulan Jadi Tebusan


Militia Kurdis membantu seorang wanita etnik Yazidi yang dibebaskan

BAGHDAD 9 April – Lebih 200 orang penduduk etnik minoriti Yazidi yang kebanyakan mereka warga emas dibebaskan oleh kumpulan militan Negara Islam (IS), hari ini selepas lapan bulan dijadikan tebusan, di utara negara ini.

Menurut pihak berkuasa kumpulan bersenjata Kurdis, Mejar Jeneral Westa Rasul, pihaknya menerima 227 orang terdiri daripada wanita dan kanak-kanak di Kirkuk, wilayah utara Iraq, semalam. “Kami telah berunding dengan sheikh-sheikh kabilah di Hawijah supaya membebaskan mereka yang diculik,” ujar Westa merujuk kepada militan IS yang menguasai bandar Kirkuk.Kumpulan etnik Yazidi dibebaskan Isnin lalu di wilayah Nineveh, barat laut Kirkuk tetapi mereka tidak dapat meneruskan perjalanan ke wilayah yang dikuasai Kurdis sehingga dua hari lalu.

Pembebasan beramai-beramai penduduk etnik Yazidi yang diculik di Nineveh pada tahun lalu itu adalah kumpulan kedua selepas 200 orang kebanyakan warga emas dibebaskan pada Januari lalu.Kumpulan militan IS melancarkan serangan dan menguasai wilayah yang luas di utara dan barat Baghdad sejak Jun lalu.

Kumpulan militan IS melancarkan gelombang serangan kedua pada Ogos lalu yang menjadikan wilayah di utara yang merupakan kawasan penduduk minoriti Iraq sebagai sasaran. Kumpulan penduduk Yazidi yang dibebaskan itu, semalam kebanyakan mereka terdiri daripada warga emas dan golongan kurang upaya yang dibawa pulang ke bandar Dohuk selepas berhenti rehat di bandar Lalish.

Seorang daripada mangsa itu, Ghazal Khalaf, 25, merupakan wanita kurang upaya yang terpisah dengan anak perempuannya berusia tujuh tahun semasa dijadikan tawanan.“Mereka memberitahu saya supaya tinggalkan anak-anak saya tetapi saya tidak mahu pergi tanpa kedua-dua anak saya,” ujarnya, sambil memangku anak kecilnya berusia dua tahun. Seorang lagi mangsa ialah seorang ibu berusia 35 tahun, Ahlam Qassem yang mempunyai enam orang anak, tetapi kini hanya bersama dengan anak bongsunya. – AFP -sumber

No comments: