Tuesday, April 28, 2015

NEPAL - 2 Rakyat Malaysia Masih Gagal Dikesan

Anifah Aman

KUALA LUMPUR 26 April – Dua rakyat Malaysia yang dipercayai kini terkandas di Nepal masih gagal dikesan selepas berlaku gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 di negara tersebut, semalam. Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, kedua-dua rakyat Malaysia itu me­rupakan adik-beradik wanita dan pi­hak­nya ma­­sih be­lum dapat mengenal pasti lokasi terkini mereka. “Kami tidak pasti apa yang berlaku kepada kedua-dua wanita itu dan tidak mahu membuat sebarang spekulasi berhubung kea­daan mereka. “Malaysia akan terus cuba menghubungi kedua-dua wanita tersebut dan memastikan mereka berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam sidang akhbar sempena Sidang Kemuncak ASEAN kali ke-26, di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan identiti kedua-dua wanita itu dan bagaimana mereka berada di sana. Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini menggerakkan operasi untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di negara itu.

Berdasarkan laporan media antarabangsa, lebih 1,800 orang terkorban dalam bencana alam yang berlaku di beberapa kawasan di Nepal, antaranya Kathmandu dan Pokhara. Sementara itu, Anifah mewakili seluruh pemimpin ASEAN berkongsi rasa sedih dan menyam­paikan ucapan takziah kepada semua yang terlibat dalam nahas gempa bumi di Nepal.

“ASEAN berdiri teguh bersama-sama seluruh masyarakat dunia memberikan sokongan kepada keluarga mangsa gempa bumi. Kami juga akan menyalurkan bantuan kemanusiaan bagi meringankan beban yang dihadapi mereka,” ujarnya. -sumber

No comments: