Thursday, April 30, 2015

NEPAL - Beribu2 Penduduk Merusuh

Polis antirusuhan Nepal menghalang mangsa gempa bumi membuat sekatan

KATHMANDU 29 April - Pasukan polis antirusuhan Nepal dikerah menangani rusuhan oleh beribu-ribu mangsa gempa bumi, yang ter­desak mahu meninggalkan kawasan ben­cana di ibu negara ini ekoran ke­kurangan bekalan makanan dan kebimbangan gempa susulan. Rusuhan itu dipercayai tercetus apabila mangsa yang terselamat menuduh kerajaan gagal memenuhi janji untuk menyediakan kira-kira 250 bas bagi membawa penduduk keluar dari Kathmandu, sekali gus memburukkan lagi ke­adaan di lokasi utama bencana.

Beribu-ribu penduduk yang berkumpul di stesen bas utama bandar berkenaan, dilapor bergelut dengan sepasukan polis antirusuhan yang dikerah bagi mengelak berlaku kejadian yang lebih buruk. Krisis kemanusiaan juga dilapor semakin meruncing di kebanyakan kawasan terpencil apabila penduduk cuba keluar dari lokasi bencana de­ngan menaiki helikopter yang ditugaskan menghantar bantuan. Seramai 5,057 orang disahkan terbunuh di Nepal apabila gempa bumi kuat berukuran 7.9 skala Richter menggegarkan ibu negara tersebut pada Sabtu lalu.

Sementara itu, kerajaan Nepal dilapor mengarahkan pasukan penyelamat antarabangsa agar tidak datang ke lokasi bencana dalam usaha mencari mangsa yang terselamat kerana pihak berkuasa tempatan dan tentera mampu menggalas tugas tersebut. Pengumuman itu disampaikan oleh Pengarah Program Pemba­ngunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jamie McGoldrick yang menjelaskan, pasukan perubatan dan penyelamat yang sedang dalam perjalanan atau telah berada di Nepal, boleh meneruskan tugas mereka. Tetapi jelas beliau, pasukan bantuan yang masih belum bertolak atau merancang untuk datang ke Nepal perlu membatalkan hasrat mereka.

Dalam perkembangan sama, tentera Nepal berkata, cuaca yang semakin baik dijangka memudahkan lagi operasi menyelamat dan menyalurkan bantuan di kawasan-kawasan terpencil. Jurucakap tentera, Jagdish Po­kharel berkata, operasi bantuan ditingkatkan hari ini bagi mencari lebih ramai mangsa yang terselamat dan memastikan penduduk menerima bantuan yang secukup­nya. “Kami memperluaskan penggunaan sumber tentera bagi membantu banyak kawasan termasuk penggunaan helikopter untuk membawa mangsa yang cedera ke hospital,” katanya. – AFP/REUTERS sumber

No comments: