Wednesday, April 1, 2015

NIGERIA - Pembangkang Menang Pilihan Raya



ABUJA: Warga Nigeria mengundi untuk memilih semula bekas diktator tentera berusia 72 tahun sebagai Presiden dalam pilihan raya paling sengit di negara itu.

Presiden Goodluck Jonathan sudah mengaku kalah kepada bekas Jeneral, Muhammadu Buhari, sekali gus membuka laluan kepada peralihan kuasa secara aman yang tidak pernah berlaku sebelum ini di negara itu yang paling padat penduduk di benua Afrika.

"Keinginan seseorang tidak akan lebih bernilai daripada nyawa warga Nigeria," kata Jonathan dalam satu kenyataan yang mana beliau turut mengucapkan tahniah kepada penggantinya.

"Saya sudah menjanjikan pilihan raya yang bebas dan telus. Kini, saya sudah buktikan saya seorang yang mengotakan janji."

Inilah kali pertama dalam sejarah Nigeria, yang mana sebuah parti pembangkang mengambil alih kuasa secara demokrasi daripada parti pemerintah. Keadaan ini menunjukkan demokrasi yang boleh dianggap masih muda di wilayah Afrika Barat itu, sudah semakin matang.

Presiden Jonathan mentadbir Nigeria selepas berakhirnya pemerintahan junta tentera pada 1999.

Kenyataan Jonathan, walaupun Suruhanjaya Pilihanraya belum mengumumkan keputusan penuh secara rasmi menyebabkan penyokong Buhari terutama di utara Nigeria bersorak dan menunggu Buhari membuat ucapan sulung kepada seluruh negara menerusi TV.

Keputusan awal menunjukkan daripada semua 36 negeri dan wilayah di negara itu, Buhari yang pernah mentadbir secara kuku besi dalam tempoh singkat pada 1980-an, mengalahkan Jonathan dengan majoriti besar. - AP   sumber

No comments: