Friday, April 3, 2015

Pejuang Palestin Berjaya Usir Tentera IS di Yarmuk

gambar fail merakamkan beribu-ribu pelarian Palestin yang ditempatkan

DAMSYIK 2 April – Kumpulan pejuang Palestin dan penentang kerajaan Syria, hari ini berjaya merampas semula sebahagian besar kawasan kem pelarian di ibu negara ini, yang ditawan kumpulan militan Negara Islam (IS).

Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria melaporkan, dua kumpulan bersenjata tersebut berjaya mengusir anggota militan IS yang menguasai kem pelarian Yarmuk di selatan Damsyik sejak semalam. Menurut pengarah pertubuhan itu, Rami Abdel Rahman, kejayaan itu, sekali gus melegakan beribu-ribu pelarian Syria dan Palestin yang berlindung di kem tersebut dan mengekang kemaraan militan IS untuk menguasai Damsyik.

“Kumpulan penentang kerajaan Syria memasuki kem tersebut dan membantu pejuang Palestin menentang militan IS sehingga tercetus pertempuran yang sengit. “Namun, militan IS masih menguasai beberapa kawasan kecil di kem terbabit,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Hal Ehwal Politik Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) di Damsyik, Anwar Abdel Hadi berkata, kumpulan pejuang Palestin itu merupakan pasukan bersenjata yang setia kepada pergerakan Hamas. Jelasnya, enam orang disahkan terbunuh dan 17 lagi cedera.

 Dalam pada itu, Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNRWA) untuk pelarian Palestin berkata, situasi di kem pelarian tersebut sangat membimbangkan, lebih-lebih lagi memikirkan soal keselamatan pelarian. Jurucakap UNRWA, Chris Gunness berkata, kem itu menempatkan 18,000 orang awam dan 3,500 daripada mereka merupakan kanak-kanak.

“Pertempuran antara kumpulan bertelagah boleh membahayakan nyawa atau menyebabkan kecederaan yang serius kepada kanak-kanak,” katanya. Yarmuk terletak kira-kira enam kilometer dari Damsyik dan pernah menempatkan 160,000 pelarian Palestin dan Syria. – AFP sumber

No comments: