Wednesday, April 8, 2015

SYRIA - Penghuni Kem Yarmouk Menderita

sebahagian daripada pelarian Palestin yang berjaya meninggalkan

BEIRUT 7 April – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa supaya pihak bertelagah di daerah Yarmuk, menyediakan akses kepada bantuan kemanusiaan termasuk memastikan laluan selamat dan pemindahan orang awam keluar dari kawasan itu. Duta Jordan ke PBB dan kini merupakan Presiden Majlis Ke­selamatan PBB, Dina Kawar turut melahirkan rasa bimbang anggota majlis tersebut berhubung situasi genting di daerah berkenaan selepas kawasan yang terkepung itu diceroboh kumpulan militan Negara Islam (IS), minggu lalu.

Masalah kekurangan makanan, air, dan bekalan ubat-ubatan menyebabkan penduduk di situ mengalami penderitaan serius di kawasan yang dianggarkan masih dihuni kira-kira 18,000 orang awam. Keadaan semakin buruk sejak militan IS memasuki kem itu pada Rabu lalu dengan menyerang pasukan bersenjata Palestin yang menentang tentera Syria, malah menurut aktivis, tentera kerajaan dilapor mula mengebom kawasan itu dengan bom tong.

Pesuruhjaya Agung Agensi Kerja-Kerja dan Pemulihan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) yang membantu pelarian Palestin, Pierre Krahenbuhl berkata, situasi di Yarmouk pada masa ini adalah antara yang terburuk. Pertubuhan bantuan awam yang aktif di Yarmuk, Yayasan Jafra, memberitahu portal Al Jazeera, sebanyak 13 orang awam maut sejak minggu lalu. Menurut kumpulan itu, kebanyakan orang awam terperangkap di kediaman mereka tanpa akses kepada makanan dan air ketika anggota penembak tepat IS menempatkan diri mereka di atas bumbung bangunan. Bagaimanapun kira-kira 500 ke­luarga dapat melarikan diri dari daerah itu hujung minggu lalu dengan memasuki Yelda, sebuah kawasan berjiran dengan Yarmouk yang turut dikepung tentera kerajaan tanpa kehadiran militan IS.

Setakat Februari lalu, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal-Ehwal Kemanusiaan (OCHA) mengesahkan sebanyak 11 kawasan di Syria dikepung tentera dengan dianggarkan sebanyak 212,000 orang awam tinggal di kawasan itu, manakala Pertubuhan Perubatan Syria menganggarkan orang awam yang terkepung adalah sebanyak 640,200. Yarmuk dijadikan sebagai kem bagi pelarian Palestin berdekad lalu dan kini menjadi kawasan perumahan yang menempatkan penduduk Palestin dan Syria yang dikepung tentera kerajaan sejak hampir dua tahun lalu. sumber

No comments: