Thursday, April 2, 2015

YAMAN - Perang Merebak ke Sempadan SAUDI

Orang ramai memerhatikan kesan kerosakan akibat bedilan udara

ADEN 1 April – Askar Arab Saudi bertempur dengan pemberontak Houthi di sempadan Arab Saudi-Yemen buat kali pertama sejak Riyadh mengetuai tentera pakatan menggempur kedudukan kumpulan puak Syiah itu enam hari lalu.

Sumber penduduk tempatan di utara Yemen melaporkan, serangan roket dan artileri tercetus di beberapa kawasan sempadan antara ke­dua-dua negara selain kedengaran letupan kuat dan tembakan senjata berat. Mereka mendakwa, beberapa buah helikopter milik tentera Arab Saudi turut kelihatan di sekitar kawasan pertempuran, tetapi jumlah kematian masih belum dapat dipastikan.

Perkembangan membimbangkan itu sekali gus menyebabkan Menteri Luar Yemen, Riyadh Yaseen menggesa negara-negara Arab yang menyertai operasi menentang pemberontak Houthi me­lancarkan serangan darat secepat mungkin. Sebagai maklum balas terhadap permintaan Yemen, pihak berkuasa Arab Saudi berkata, tentera darat telah bersedia di sempadan bagi menghadapi sebarang kemungkinan melancarkan serangan darat selain sokongan daripada askar Pakistan.

Dalam perkembangan sama, sekurang-kurangnya 86 orang dilaporkan terbunuh, termasuk 47 orang awam, dalam serangan bom dan serangan udara yang dilancarkan tentera pakatan Arab Saudi di kedudukan pemberontak Houthi. Sembilan pejuang pro-Presiden Abdrabbuh Mansour Hadi dan kira-kira 30 pemberontak Houthi maut dalam pertempuran, manakala di bandar Yareem, serangan udara yang mengenai sebuah lori mi­nyak menyebabkan 10 orang awam terkorban dan 23 pekerja juga terbunuh dalam serangan udara di sebuah kilang di bandar Aden.

“Kami telah meminta Arab Saudi mengerahkan tentera darat secepat mungkin bagi mengelakkan kemusnahan yang lebih teruk dan menyelamatkan rakyat Yemen yang terperangkap di kebanyakan bandar,” kata Riyadh. Sekurang-kurangnya 37 pekerja kilang susu maut dalam serangan bom di bandar Hudeyda, barat Yemen, namun tidak dapat dipastikan sama ada premis itu meletup akibat serangan udara atau tembakan meriam puak pemberontak. Sementara itu, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) melaporkan, seramai 62 kanak-kanak terbunuh dan 30 lagi cedera sepanjang minggu lalu ekoran pertempuran sema­kin sengit di Yemen. – REUTERS/AFP sumber

No comments: