Tuesday, May 26, 2015

Al-Azhar Seru Dunia Halang IS

Kumpulan militan IS mengibarkan bendera hitam selepas menawan

KAHERAH 25 Mei – Pusat pengajian tinggi Islam terkemuka di dunia, Al-Azhar berkata, dunia perlu bersatu dalam ‘perang seluruh umat manusia’ bagi menghalang kumpulan militan Negara Islam (IS) daripada memusnahkan bandar purba Palmyra di Syria. Rayuan itu dibuat sehari selepas Pengarah Jabatan Antikuiti Syria menyatakan militan IS telah menceroboh muzium di bandar Palmyra dan mengibarkan bendera hitam mereka di atas kubu purba yang menghadap tapak sejarah.

“Melindungi tapak arkeologi daripada kemusnahan dan rampasan adalah menjadi perang bagi semua umat manusia,’’ kata institusi itu yang berpangkalan di Kaherah dalam satu kenyataan. “Kita perlu bersatu untuk melindungi sebuah daripada bandar purba paling penting di Asia Barat daripada dimusnahkan oleh Daesh (merujuk kepada militan IS),” katanya. Al-Azhar berkata, masyarakat dunia perlu mengambil tindakan segera untuk menghalang militan IS daripada memusnahkan kebudayaan dan tapak arkeologi di bandar itu, seperti yang mereka lakukan di Iraq dan di bahagian-bahagian lain di Syria.

Kumpulan militan IS menawan Palmyra pada Khamis lalu, membangkitkan kebimbangan masyarakat dunia terhadap keselamatan tapak-tapak bersejarah berusia 2,000 tahun di bandar itu yang diisytiharkan sebagai Warisan Dunia oleh UNESCO. Kumpulan militan IS pada tahun ini memusnahkan bandar purba Assyria kerajaan Nimrud dan memusnahkan artifak-artifak di Muzium Mosul, kedua-duanya di Iraq. Menurut Al-Azhar, Islam menghalang perbuatan memusnahkan warisan dunia dan artifak-artifak bersejarah.

Sementara itu, kumpulan militan IS telah membunuh sekurang-kurangnya 217 orang, termasuk orang awam, di dalam dan sekitar bandar purba Palmyra dalam tempoh sembilan hari lalu. Pengarah Pemerhati Hak Asasi Manusia bagi Syria, Rami Abdel Rahman berkata, mereka telah merekodkan pembunuhan 67 orang awam, termasuk 14 kanak-kanak, 12 wanita di Sukhnah dan Al-Amiriyah di Palmyra serta 150 askar Syria di beberapa tempat di wilayah Homs sejak 16 Mei lalu. “Kebanyakan mereka yang mati di Palmyra adalah akibat ditembak, ditikam atau dipenggal kepala,’’ katanya.

Berita tentang jumlah korban itu diterima beberapa jam selepas media rasmi kerajaan Syria melaporkan kumpulan militan IS sedang melaksanakan pembunuhan beramai-ramai di Palmyra, dengan membunuh kira-kira 400 orang awam, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Kumpulan militan IS menawan bandar strategik Sukhnah pada 13 Mei, dan menawan Palmyra kira-kira 24 jam kemudian. Badan pemerhati itu berkata, sebanyak 600 orang lagi dijadikan tawanan oleh kumpulan militan IS kerana didakwa menjadi tali barut kerajaan. -  sumber

No comments: