Thursday, May 28, 2015

Hawa Panas di INDIA Korbankan 1,100 Jiwa

HYDERABAD,India 27 Mei – Lebih 1,100 orang dilaporkan meninggal dunia sepanjang minggu ini berikutan fenomena gelombang haba melampau dan pakar kaji cuaca memberi amaran cuaca panas melampau akan berterusan sehingga minggu depan. Selatan negara ini merupakan kawasan paling teruk terjejas berikutan keadaan kering dan kebanyakan mangsa adalah pekerja pembinaan, warga emas atau golongan gelandangan yang tidak mempedulikan amaran supaya berada di dalam rumah.

Di New Delhi, keadaan jalan raya yang berturap menjadi cair berikutan cuaca panas melampau dan pakar berkata, keadaan berterusan sehingga minggu depan. Pengarah Jabatan Meteorologi, Brahma Prakash Yadav berkata, suhu paling tinggi dicatat di bandar ini ialah pada 45 darjah Celsius.

“Suhu maksimum tidak akan menurun sehingga hujan dijangka turun pada 2 Jun ini kerana terdapat tanda-tanda hujan akan turun,” ujarnya.

 Pihak berkuasa menasihati penduduk supaya kekal berada di dalam rumah dan mengambil minuman dalam kuantiti yang banyak. Pihak berkuasa negeri Andra Pradesh di selatan negara ini yang paling terjejas berkata, kira-kira 900 meninggal dunia sejak 18 Mei lalu dan menggesa supaya ditubuhkan pasukan bantuan bagi mengedarkan air kepada penduduk.

Di negeri Telangana, suhu mencecah sehingga 48 darjah Celsius menyebabkan lebih 200 orang meninggal dunia pada minggu lalu. Di negeri Orissa di barat negara ini, pula seramai 11 orang meninggal dunia akibat cuaca panas melampau manakala 13 orang lagi terkorban di Bengal. – AFP -  sumber

No comments: