Portal UPI melaporkan, restoran Pizza Hut di Avon Park tersebut menerima pesanan dalam talian itu kira-kira pukul 3.40 petang waktu tempatan kelmarin daripada pelanggan tetap mereka, Cheryl Treadway.
Pada slip tempahan itu, pekerja bernama Alonia Hawk ternampak pesanan ‘Tolong! Telefon 911 untuk saya’ dan ‘911 bantuan tebusan’.
Pengurus restoran itu, Candy Hamilton kemudian mencetak pesanan tersebut dan menghubungi polis.
Polis berkata, Treadway dan anak-anaknya ditahan oleh teman lelaki wanita itu, Ethan Earl Nickerson, 26, menggunakan pisau.
Suspek berjaya ditahan, sementara semua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
Treadway memberitahu polis bahawa dia dan suspek bergaduh dan lelaki itu merampas telefonnya selepas mengancamnya dengan pisau.
“Saya berjaya yakinkan Nickerson untuk menggunakan telefon bagi memesan piza selepas dia merampas alat komunikasi tersebut,’’ katanya.