Tuesday, May 19, 2015

IRAQ - Bandar Ramadi Ditawan IS



BAGHDAD: Kumpulan Negara Islam (IS) mendakwa pejuangnya sudah merampas Ramadi pada Ahad selepas tentera berundur daripada bandar itu di barat Iraq. Dalam kenyataannya di internet, IS mendakwa merampas kereta kebal dan menewaskan pasukan Briged ke-8 serta membunuh golongan murtad, rujukan terhadap tentera Iraq.

Bagaimanapun, IS dikatakan tidak dapat menawan bandar bersejarah Palmyra berikutan tentangan hebat daripada tentera Syria. Perdana Menteri Iraq Haider al-Abadi menggesa tentera negara itu untuk terus mempertahankan Ramadi dengan berjanji untuk terus memberi bantuan serangan udara dan pasukan bantuan daripada kumpulan militia Shiah.

Kejatuhan Ramadi, ibu negeri Anbar iaitu wilayah terbesar di Iraq adalah tamparan paling hebat kepada kerajaan negara itu sejak memulakan serangan besar-besaran untuk merampas kembali kawasan yang ditawan kumpulan militan sejak Jun 2014. Dalam pada itu, Pentagon berkata IS setakat ini mempunyai kelebihan dalam pertempuran di Ramadi tetapi berjanji tentera AS dan sekutunya akan memberi bantuan kepada tentera Iraq menawan kembali bandar itu. Walaupun tidak menyatakan secara langsung IS sudah menawan Ramadi, Pentagon seperti sudah mengakui kemungkinan itu sekali gus menandakan kekalahan besar kepada kerajaan Iraq.

"Ramadi sudah digempur IS sejak Jun tahun lalu dan kini mereka ada kelebihan," kata jurucakap Pentagon Elisa Smith. Katanya, jika Ramadi jatuh kepada IS, ia tidak bermakna keseluruhan gerakan ketenteraan Iraq sudah kecundang tetapi mengakui IS ada modal besar untuk kempen propagandanya. "Ini bermakna pihak bersekutu perlu terus membantu tentera Iraq untuk merampasnya kembali," kata Smith sambil menambah AS akan terus memberi sokongan serangan udara serta khidmat nasihat. - Reuters sumber

No comments: