Thursday, May 21, 2015

IRAQ - Tentera Hanya Mampu Kepung Bandar Ramadi

Penduduk Sunnah yang melarikan diri daripada keganasan di bandar

BAGHDAD 20 Mei – Tentera Iraq semalam mengepung bandar Ramadi dan mengerahkan kereta kebal serta meriam ke bandar itu bagi menawan semula Ramadi daripada kumpulan militan Negara Islam (IS). Kumpulan militan IS menawan bandar Ramadi dan mengusir tentera Iraq dari ibu negeri wilayah Anbar itu, kelmarin dalam kekalahan terbesar tentera Iraq di tangan kumpulan militan itu.

 Selepas kejatuhan Ramadi, kumpulan militia Syiah yang bersekutu dengan tentera Iraq mara menghampiri sebuah pangkalan sebagai persediaan untuk melancarkan serangan balas dan menawan semula bandar itu yang terletak kira-kira 110 kilometer ke barat laut Baghdad. Seorang pegawai tempatan menggesa penduduk Ramadi menyertai pasukan polis dan tentera Iraq untuk menumpaskan kumpulan militian IS dalam perang yang militia Syiah panggil sebagai ‘Perang Anbar’ Sementara itu, kumpulan militan IS mengukuhkan kedudukan pertahanan mereka dan menanam periuk api, kata seorang saksi. Mereka turut pergi dari rumah ke rumah untuk mencari anggota polis dan tentera Iraq. Malah kumpulan militan itu berjanji untuk menubuhkan mah­kamah Syariah seperti yang mereka lakukan di bandar-bandar lain yang mereka tawan. Kumpulan militan IS turut membebaskan kira-kira 100 banduan dari pusat tahanan di bandar itu. Seorang guru sekolah, Saed Hammad al-Dulaimi, 37, yang masih berada di bandar itu berkata, kumpulan militan IS menggunakan pembesar suara menggesa orang ramai yang mempunyai saudara-mara yang ditahan di penjara itu, supaya berkumpul di kawasan masjid utama di bandar itu bagi mengambil banduan-banduan tersebut.

Seorang pemilik restoran, Sami Abed Sahed berkata, kumpulan mi­litan IS menemui 30 orang wanita dan 71 orang lelaki yang ditahan di pusat tahanan itu. Kesemua mereka ditembak di kaki bagi mengelak mereka melarikan diri. Saksi berkata, bendera kupulan militan IS berwarna hitam turut dikibarkan di masjid utama itu, pejabat-pejabat kerajaan dan beberapa bangunan utama lain di bandar itu.

 Seorang penduduk, Jasim Mohammed, 49, yang memiliki kedai pakaian di bandar itu berkata, anggota kumpulan militan IS membe­ritahunya bahawa dia hanya boleh menjual pakaian tradisi Islam. Kumpulan militan IS juga menjanjikan makanan, ubat-ubatan dan doktor secepat mungkin. “Saya rasa mereka (kumpulan militan IS) cuba memenangi simpati daripada penduduk Ramadi dan memberi peluang penduduk bandar itu mengecapi sementara kebebasan dan keamanan,” katanya. - sumber

No comments: