Saturday, May 9, 2015

IS Tak Arahkan Serangan di Texas

pegawai FBI menjalankan siasatan di Curtis Culwell Center di Garland,Texas

WASHINGTON 8 Mei - Dua individu yang me­nyerang tapak pertandingan ke­se­niaan dan melukis gambar kartun Nabi Muhammad SAW di Texas pada Ahad lalu didapati hanya terpengaruh dengan ideologi dan bukan melancarkan serangan itu atas arahan kumpulan militan Negara Islam (IS), kata Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Ashton Carter, semalam. Namun, kumpulan militan IS mengambil kesempatan mengaku terbabit dalam serangan itu.

Dalam kejadian itu dua lelaki bersenjata mati ditembak oleh seorang pegawai polis di luar bangunan pertandingan itu berlangsung di pinggir bandar Dallas pada Ahad lalu. “Daripada siasatan yang dijalankan mendapati penyerang terbabit terpengaruh dengan kumpulan mi­litan IS dan bukan diarahkan oleh IS, dua perbezaan penting.

 “Dalam kalangan kita memang terdapat individu-individu seperti ini yang terpengaruh dengan ideologi IS,” kata Carter kepada wartawan. Kejadian ini merupakan kali pertama membabitkan kumpulan IS yang cuba mengambil kesempatan dalam kejadian serangan di AS. Carter berkata, propaganda kumpulan itu dalam Internet berhubung serangan di Texas itu, memberi alasan kenapa IS perlu ditumpaskan.

 White House awal minggu lalu berkata, agensi perisikan dan penguatkuasa masih menyiasat sama ada IS terbabit dalam serangan di Garland, Texas itu.Salah seorang penyerang, Elton Simpson pernah dijatuhi hukuman diletakkan dalam pemerhatian selama tiga tahun pada 2011 selepas didapati menipu Biro Siasatan Persekutuan (FBI) berhubung perancanganya untuk melakukan perjalanan ke Somalia. Pendakwa raya mendakwa suspek telah merancang untuk me­lakukan perjalanan ke Somalia bagi menyertai jihad di sana, namun seorang hakim menolak dakwaan tersebut.

 Simpson, 31, yang memeluk Islam sejak remaja lagi didapati kerap berhubung dengan seorang penyokong IS warga AS, Mohamed Abdullahi Hassan melalui Twitter, menurut beberapa pakar keganasan. – AFP sumber

No comments: