Monday, May 25, 2015

Myanmar Cuba Sekat Kelahiran Anak2 Muslim

Gambar bertarikh 19 Mei merakamkan Shahira Bibi, seorang kanak-kanak

YANGON 24 Mei – Presiden Myanmar, Thein Sein dilaporkan telah menandatangani satu undang-undang menghendaki golongan ibu di negara ini supaya menjarakkan kelahiran anak mereka dalam tempoh tiga tahun, langkah yang dilihat menjadikan etnik minoriti Rohingya sebagai sasaran.

Rang Undang-Undang Penjagaan Kesihatan Kawalan Penduduk itu digubal ekoran tekanan daripada sami-sami Buddha yang dilihat mempunyai agenda anti-Islam dan diluluskan di Parlimen pada bulan lalu, langkah yang mengundang kecaman Amerika Syarikat (AS) dan aktivis hak asasi manusia.

Menurut media tempatan Myanmar, Thein Sein menandatangani undang-undang itu, semalam beberapa jam selepas Timbalan Setiausaga Negara AS, Anthony Blinken memberi amaran tentang potensi bahaya pelaksanaan langkah itu semasa pertemuan dua hala antara beliau dan wakil Yangon. Langkah itu didakwa bukan sahaja untuk menindas kaum wanita malah turut mempunyai kesan kepada agama dan etnik-etnik minoriti.

 “Undang-undang itu mengandungi peruntukan yang boleh dikuatkuasakan dengan cara yang akan menjejaskan hak pembiakan, hak-hak wanita dan kebebasan beragama,’’ kata BlinKen kepada media, kelmarin.

“Tindakan itu amat mengecewakan. Sekiranya kerajaan mahu melindungi wanita, mereka sepatutnya mengukuhkan undang-undang sedia ada,’’ kata seorang aktivis has asasi wanita, Khin Lay.

 Ketika Myanmar yang majoriti penduduknya beragama Buddha berubah daripada era diktator kepada demokrasi empat tahun lalu, kebebasan bersuara baharu mengundang kebencian terhadap etnik minoriti Islam termasuk Rohingya yang kini menjadi orang hanyut dalam usaha mereka melarikan diri ke negara yang dihuni umat Islam seperti Malaysia. Ini berikutan mereka ditindas dan diletakkan di kem pelarian sempit dengan akses kepada pendidikan dan perubatan yang terhad hingga menyaksikan sebanyak 280 penduduk Rohingya maut dan memaksa 140,000 lagi melarikan diri dari rumah mereka di negeri Rakhine. – AGENSI  sumber

No comments: