Thursday, May 28, 2015

MYANMAR Sembunyikan Pelarian Rohinya

YANGON 26 Mei - Pihak berkuasa Myanmar dipercayai menyembunyikan pelarian etnik Islam Rohingya yang diselamatkan bersama-sama beratus-ratus pendatang Bangladesh pada minggu lalu. Portal Burma Times yang memetik kenyataan sumber yang ditemui di Hashurata, selatan Maungdaw melaporkan tentera laut Myanmar menyelamatkan kira-kira 300 pendatang asing di laut dan membawa mereka ke darat ke tempat yang tidak diketahui dalam kejadian pada Jumaat lalu.

Jelas sumber itu, pada masa tersebut, pegawai perisikan dan jabatan imigresen mengiringi ke­semua pendatang itu ke sebuah sekolah agama untuk penganut Islam di kawasan yang sama bagi menjalani sesi siasatan.

 “Kemudian mereka memasukkan kira-kira 70 lelaki dan 30 wanita, dipercayai etnik Rohingya ke dalam beberapa trak dan beredar dari situ. “Selepas itu, kerajaan mengumumkan seramai 208 pendatang dari Bangladesh diselamatkan dari sebuah bot, tetapi tidak melaporkan tentang nasib kira-kira 100 etnik Rohingya yang diasingkan sebelumnya,” kata sumber tersebut.

Kerajaan Myanmar mendakwa kesemua orang hanyut yang diselamatkan merupakan rakyat Bangladesh yang menyamar sebagai etnik Rohingya untuk mendapatkan bantuan antarabangsa. Dalam pada itu, sumber yang sama menjelaskan terdapat etnik Rohingya dalam kalangan pendatang yang ditahan mengaku datang dari kawasan Chittagong, Bangladesh bagi menyelamatkan diri daripada dikenakan tindakan oleh kerajaan Myanmar. Malah ada penduduk tempatan mendakwa pihak tentera menyelamatkan sebuah lagi kapal kecil pada hari yang sama, tetapi mengiringi bot berkenaan ke lokasi yang tidak diketahui. Bagaimanapun dakwaan tersebut tidak dapat disahkan. -  sumber

No comments: