Sunday, May 31, 2015

MYANMAR Tahan Pemilik Bot Bawa Pelarian



Pihak berkuasa Myanmar tahan seorang warga Thailand yang juga pemilik sebuah bot penuh sesak dengan 200 pelarian, lapor media tempatan hari ini. Akhbar Global New Light of Myanmar melaporkan, lelaki berusia 53 tahun itu ditahan dekat sini dan ia hasil pertukaran maklumat dengan polis Thailand.

Lelaki itu dikatakan beroperasi dengan menyamar menggunakan beberapa nama Myanmar sedangkan nama Thailand dia adalah Naingnutpatunsantun, berasal dari wilayah Ranong, Thailand. "Dia dikatakan menghubungi kumpulan pemerdagangan manusia di Bangladesh dan menyeludup masuk mereka ke Thailand dan Malaysia," kata laporan itu. Bagaimanapun, laporan itu tidak mendedahkan bila dia ditahan dan apakah dakwaan yang bakal dikenakan terhadapnya.

Awal bulan ini, tentera laut Myanmar menemui lebih daripada 200 lelaki yang tidak berbaju di dalam kapal kayu yang didaftarkan sebagai kapal nelayan. Ia adalah usaha menyelamat pertama oleh tentera laut Myanmar sejak berdepan tekanan agar menyelamatkan etnik Islam Rohingya daripada kawasan perairan mereka selepas Thailand berjaya membongkar sindiket penyeludupan di wilayah selatan negara itu. - AFP sumber

No comments: