Tuesday, May 26, 2015

PAKISTAN - Serangan Sasar Anak Presiden, 3 Maut



QUETTA, Pakistan: Tiga maut manakala empat lagi cedera apabila puak pemisah Baluchistan menyasarkan konvoi membawa anak Presiden Pakistan, Mamnoon Hussain, di wilayah Baluchistan lewat malam tadi, menurut polis.

"Satu motosikal yang sarat dengan bahan letupan dan diletakkan di tepi jalan diletupkan dengan alat kawalan jauh apabila konvoi anak presiden, Salman Mamnoon, melalui Zon Hab Industri berhampiran sempadan Karachi lewat malam tadi," kata pegawai polis, Ghulam Mustafa Shah.

Beliau berkata, Salman tidak cedera dan kenderaan beliau sudah berlalu lokasi itu apabila bom itu meletup dan mengena sebuah beca dan kenderaan terakhir dalam konvoi itu.

"Penarik beca itu, kanak-kanak berusia 12 tahun, dan seorang pejalan kaki, terbunuh di tempat kejadian manakala empat anggota polis cedera ringan," katanya.

Zahid Ullah, seorang pegawai kanan polis, mengesahkan kejadian itu dan berkata anak presiden itu memiliki ladang tenusu di kawasan itu dan sering ke sana.

"Anak presiden jelas sasaran serangan itu," katanya.

Meerak Baluch, jurucakap Baluch Liberation Army (BLA) mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan itu. - AFP sumber

No comments: