Tuesday, May 19, 2015

Perang di YAMAN Disambung Semula

RIYADH: Tentera bersekutu diterajui Arab Saudi kembali membedil kumpulan pemberontak Houthi di Aden, Yaman malam tadi beberapa jam selepas tamatnya gencatan senjata untuk memudahkan penyaluran bantuan kemanusiaan. Saksi berkata, letupan jelas kedengaran berhampiran lapangan terbang bandar raya itu dan di daerah Khor Maksar dan Crater selepas gencatan senjata tamat pada jam 2 pagi Ahad.

Lewat malam tadi, jurucakap tentera yang bersekongkol dengan Houthi, berkata pihaknya menyambut baik permintaan Duta PBB ke Yaman untuk memanjangkan tempoh gencatan senjata bagi membolehkan lebih banyak bantuan kemanusiaan disalurkan. "Kami sambut baik permintaan duta itu, ...berhubung menyambung gencatan senjata dan keperluan untuk menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk setempat," lapor agensi berita SABA yang dikawal Houthi dengan memetik Jeneral Sharaf Luqman.

Sejak Selasa minggu lalu, pasukan bersekutu dan militia Houthi patuh kepada gencatan senjata untuk memberi bantuan kepada penduduk Yaman yang terperangkap dengan serangan udara sejak 26 Mac. Bagaimanapun beberapa pertempuran kecil tetap terjadi dengan sekurang-kurangnya 15 terbunuh di bandar Taiz dan Dhalea pada malam Ahad lalu, kata penduduk.

Pertubuhan kebajikan dalam pada itu membangkitkan mengenai kesuntukan masa untuk mengagihkan bantuan kepada 25 juta penduduk negara itu kerana lima hari tempoh gencatan senjata terlalu singkat. Sebelum ini Arab Saudi menyatakan tempoh gencatan senjata bergantung kepada tindakan Houthi dan sekutunya bekas Presiden Ali Abdullah Salleh. Naib Presiden Yaman, Khaled Bahah yang juga ketua kerajaan dalam buangan, berkata pihaknya berharap gencatan senjata diteruskan tetapi keputusan muktamad bergantung kepada keadaan di negara itu. - Reuters sumber

No comments: