Monday, May 25, 2015

Raja Salman Sedih Masjid Syiah Dibom

DUBAI 25 Mei - Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman melahirkan rasa dukacita berhubung kejadian pengeboman berani mati di sebuah masjid Syiah, di timur negara itu, yang mengorbankan 21 orang, kelmarin. Raja Salman berkata, mereka yang terlibat dalam serangan itu akan diheret ke muka pengadilan.

 “Kami bersedih dengan kekejaman yang dilakukan pengganas yang bercanggah dengan nilai-nilai Islam dan kemanusiaan,” ujarnya dalam satu perutusan kepada Menteri Dalam Negeri, Putera Mahkota, Mohammed bin Nayef. Arab Saudi, kelmarin mengesahkan serangan itu mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Negara Islam (IS), dalam apa yang disifatkan oleh Kementerian Dalam Negeri sebagai cubaan untuk mewujudkan perpecahan.

 Ia merupakan serangan terburuk di negara ini pada tahun ini dan merupakan kali pertama kumpulan militan IS melancarkan serangan ke atas Arab Saudi. “Namanya (penyerang) ialah Salih bin Abdulrahman Salih al-Ghishaami, seorang warga Arab Saudi,” kata Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan. “Dia (Salih) dikehendaki oleh pasukan keselamatan kerana terlibat dalam sebuah pertubuhan pengganas dan menerima arahan daripada Daesh di luar negara,’’ merujuk kepada nama IS dalam bahasa Arab.

Kumpulan militan IS mengaku melakukan serangan itu di Masjid al-Qadeeh, ketika jemaah mengerjakan solat Jumaat di bandar Qatif, wilayah Timur Arab Saudi Jumaat lalu, tetapi ia mendedahkan nama penyerang itu sebagai Abu Amer al-Najdi.

 “Pertubuhan itu dibongkar pada bulan lalu, dan setakat ini 26 anggotanya, kesemua warga Arab Saudi telah ditahan,” kata Kementerian Dalam Negeri dengan menyatakan bahawa jumlah mereka yang cedera dalam serangan itu meningkat daripada 81 kepada 101. - REUTERS -  sumber

No comments: