Wednesday, May 6, 2015

Umat Islam Kutuk Pertandingan Biadap di Texas

TEXAS 5 Mei - Seorang imam terkenal di negeri ini mengecam penganjuran pertandingan melukis gambar kartun Nabi Muhammad SAW di Garland kelmarin, yang menyaksikan dua orang penyerang ditembak mati polis selepas melepaskan tembakan ke arah bangunan lokasi pertandingan itu berlangsung.

Imam Moujahed Bak­hach nyata kecewa dengan penganjur pertandingan itu termasuk penulis blog anti-Islam, Pam Geller yang didakwa berselindung di sebalik Pindaan Pertama Amerika Syarikat (AS) dan kebebasan bersuara. “Apa yang (Nabi) Muhammad) lakukan kepada wanita ini? Dia bersembunyi di sebalik Pindaan Pertama dan kebebasan bersuara untuk menghina Islam. Apa yang Baginda lakukan kepadanya. Saya tidak boleh mempercayainya dan saya tidak boleh faham,’’ katanya sebagaimana lapor por­tal Dallas Morning News.

Menurut Moujahed, penduduk Islam tahu tentang agenda pertubuhan bukan kerajaan itu yang dikenali sebagai American Freedom Defense Initiative dengan menawarkan hadiah sebanyak AS$10,000 (RM36,008) kepada pemenang. “Kami tahu agenda mereka dan semoga Tuhan akan memaafkan mereka dan memimpin mereka ke arah keamanan,’’ katanya merujuk kepada masyarakat Islam di Texas Utara yang semakin berkembang sejak 20 tahun lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Hubungan Islam Amerika (CAIR) turut mengecam serangan itu. “Kami mengutuk serangan anti-Islam di Garland, Texas tanpa sebarang keraguan,’’ kata pertubuhan hak asasi Islam itu dalam satu kenyataan.

Semalam, dua lelaki bersenjata ditembak mati polis selepas melepaskan tembakan ke arah pengawal keselamatan di luar bangunan Curtis Culwell Center yang dijadikan tempat pertandingan melukis kartun Nabi Muhammad SAW. Dua lelaki bersenjata itu dikenali sebagai Elton Simpson dan Nadir Soofi dan kedua-dua penyerang itu merupakan rakan sebilik dari Phoenix, lapor portal PressTV. Menurut dua sumber yang tidak mahu didedahkan, Simpson diletakkan di bawah pemerhatian pihak berkuasa sejak 2006 dan disabitkan atas kesalahan menipu ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) pada 2011 dengan menyatakan hasratnya untuk menyertai kumpulan bersenjata di Somalia. sumber

No comments: