Sunday, May 31, 2015

YAMAN - Presiden Sudah Tidak Punya Tempat

ABU DHABI 30 Mei –Presiden Yemen yang hidup dalam buangan, Abdrabbuh Mansour Hadi didakwa tidak lagi mempunyai tempat dalam politik negara itu, kata bekas Presiden negara itu, semalam.

Dalam satu temubual dengan televisyen al Mayadeen, Ali Abdullah Saleh berkata, hubungan Hadi dengan politik Yemen berakhir apabila kumpulan pemberontak Houthi menguasai ibu negara Sanaa, mendorong Abdrabbuh melarikan diri.

"Kedudukan beliau (Abdrabbuh) sebagai Presiden berakhir sepenuhnya apabila beliau (Abdrabbuh) melarikan diri ke Sanaa dan Aden sebelum beliau melarikan diri ke Riyadh,’’ kata Ali. Abdrabbuh melarikan diri dari Sanaa pada Mac lalu berikutan penguasaan pemberontak Houthi yang mendapat sokongan Iran ke atas ibu negara Yemen itu sejak September lalu sebelum meningkatkan kemaraannya di tengah dan selatan Yemen.

Tindakan pembe­rontak Houthi itu mendorong kempen serangan udara diketuai Arab Saudi dalam usaha mengembalikan kuasa Abdrabbuh, manakala tentera yang setia kepada Ali berjuang bersama pemberontak Houthi. Ali dalam pada itu berkata, pihak-pihak yang menghadiri rundingan di Riyadh melakukan pengkhianatan kerana mereka bersetuju membenarkan Arab Saudi melancarkan serangan ke atas Yemen.

"Mereka yang menghadiri persidangan di Riyadh telah menghina diri sendiri, untuk tidak kembali ke Yemen ketika mereka merestui serangan,’’ kata Ali merujuk kepada rundingan di Riyadh antara puak-puak di Yemen awal bulan ini yang dipulaukan pemberontak Houthi. Riyadh menganjurkan rundingan antara puak-puak di Yemen awal bulan ini yang dipulaukan pemberontak Houthi. Ali berkata, beliau tidak dijemput untuk mengambil bahagian dalam rundingan terbaharu yang berlangsung di Oman dan dihadiri kumpulan Houthi."Kami adalah yang tera­khir tahu tentang (rundingan di) Oman. Ansarullah (Houthi) tidak memaklumkan kepada kami mengenainya,’’ tambahnya.

Oman, yang merupakan jiran Yemen, merupakan satu-satunya negara Teluk dalam kalangan enam negara anggota yang membentuk Majlis Kerjasama Teluk yang tidak menyertai kempen ketenteraan di Yemen yang diketuai Arab Saudi. Ali mendakwa rundingan di Oman juga adalah lakonan AS dan Iran. “Saya sangat pasti AS dan Iran mahu Oman mengadakan run­dingan itu antara Houthi dan Arab Saudi,” katanya. sumber

No comments: