Monday, May 25, 2015

YAMAN - Rundingan Damai Ditangguhkan

ADEN: Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) yang dirancang bagi mengembalikan keamanan di Yaman yang dilanda peperangan ditangguh, menurut seorang pegawai badan dunia itu hanya empat hari sebelum ia bermula. Timbul ketidaktentuan berhubung pihak bertelagah mana dari Yaman yang akan menghadiri persidangan yang dirancang di Geneva Khamis ini.

Penangguhan persidangan itu satu lagi halangan kepada usaha PBB untuk mengembalikan keamanan di negara di mana lebih 2,000 orang terbunuh sejak Mac lalu.

 "Saya boleh mengesahkan bahawa mesyuarat itu sudah ditangguhkan," menurut pegawai PBB itu tanpa memberikan penjelasan. Selain kesukaran untuk membawa pihak yang bertelagah ke meja rundingan, Presiden Yaman, Abedrabbo Mansour Hadi yang berada dalam buangan, menyatakan tuntutan kerajaannya dalam surat kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, bahawa pemberontak Huthi perlu berundur dari wilayah yang ditawan.

Hadi melarikan diri ke ibu negara Arab Saudi, Riyadh bersama kerajaannya pada lewat Mac lalu apabila puak pemberontak yang disokong Iran mara ke bandar pelabuhan Aden di selatan Yaman yang menjadi kubu kuat kerajaannya. Beliau juga menuntut pelaksanaan Resolusi PBB 2216 yang dibuat April lalu. Ia antara lain menggesa puak Huthi mengembalikan wilayah yang ditawan dan menyerahkan senjata yang mereka ambil daripada pihak tentera dan pasukan keselamatan lain. - AFP sumber

No comments: