Monday, June 29, 2015

Am - Nyamuk Tertarik Pada Bau Badan



LONDON: Mengikut satu kajian ke atas pasangan kembar, DNA seseorang adalah faktor utama menjadikan mereka lebih disukai serangga kecil. Kajian itu mengenal pasti gen terbabit dan mampu membantu saintis menghasilkan racun nyamuk. Saintis sudah menemui mengapa nyamuk lebih tertarik kepada individu tertentu berbanding individu lain dan mereka percaya seseorang yang diserang itu patut menyalahkan ibu bapa sendiri.

Buat kali pertama, saintis menemui sebab genetik mengapa segelintir daripada kita seolah-olah menjadi 'magnet' kepada nyamuk, mengikut kajian perintis oleh Fakulti Kebersihan dan Perubatan Tropika London. Ia diterbitkan dalam edisi terbaru majalah sains, PLOS ONE. Untuk mengenal pasti punca itu, saintis melepaskan nyamuk Aedes dalam tiub yang terbahagi kepada dua bahagian. Serangga itu diberikan pilihan untuk memilih bahagian mereka. Pada hujung setiap tiub adalah sepasang kembar manusia. Lapan belas kembar seiras dan 19 kembar tak seiras menawarkan diri secara sukarela sebagai habuan nyamuk. Saintis terbabit memerhatikan, pasangan kembar seiras memiliki tarikan sama daripada nyamuk, sementara kembar tak seiras mempunyai tarikan berbeza.

Mereka mengatakan wujud komponen magnetik yang menarik perhatian serangga itu. Kembar seiras mempunyai gen sama. Namun kembar tak seiras memiliki gen berbeza. Gen terbabit menjadikan manusia menjadi daya penarik kepada nyamuk menerusi bau mereka terhadap serangga itu. Kajian itu menyokong kajian terdahulu yang menunjukkan bau badan memainkan peranan. Ia mendapati mereka yang mempunyai lebih banyak bakteria tertentu pada kulit akan menjadi sasaran.

Sama seperti mereka dengan darah jenis O, dikaitkan dengan bauan tertentu pada peluh mereka. Hal ini juga ditemui dalam kes wanita hamil, apabila suhu purata tubuh meningkat kepada 1.26 darjah Celsius menyebabkan wanita itu lebih mudah berpeluh. Begitu juga individu yang mempunyai berat badan berlebihan, mereka menjadi faktor tarikan kepada nyamuk. - Agensi

sumber

No comments: