Tuesday, June 16, 2015

AM - Pembedahan Pemindahan Kepala?

ANNAPOLIS, AS: Ramai dalam kalangan saintis Amerika Syarikat (AS) yang ragu dengan rancangan seorang pakar bedah neuro Itali untuk melaksanakan prosedur pemindahan kepala. Dalam sesi taklimat kepada saintis dan kemungkinan bakal penderma kepala di sini, ramai yang tidak yakin dengan potensi kejayaan projek itu yang diumumkan Sergio Canavero pada 2013 dan prosedur itu dijangka dapat dimulakan pada 2016. Justeru, ramai yang tidak yakin Canavero dapat melaksanakan prosedur itu mengikut jadual dirancang kerana masih banyak halangan dan kekangan pengetahuan.

Canavero semalam hadir membentangkan kertas kerjanya selama dua setengah jam pada Persidangan Pakar Bedah Ortopedik dan Neurologi di sini dan buat kali pertama bertemu dengan tiga penderma untuk melaksanakan prosedur pemindahan kepala pertama dunia. Dalam pembentangannya, Canavero menghuraikan dengan mendalam bagaimana beliau akan mencantumkan saraf tunjang, faktor terpenting dalam pemindahan kepala dan menjelaskan kemajuan yang sudah dicapainya dalam kaedah itu menerusi uji kaji terhadap haiwan.

Katanya, paling penting memastikan saraf tunjang tidak terjejas adalah memastikan ia dipotong menggunakan pisau nano manakala polyethylene glycol dan arus elektrik akan mempercepatkan sambungan semula serat saraf yang terputus. Bagaimanapun, beliau akui kemahiran dan pengetahuannya dalam bidang itu belum sempurna. Beliau juga tidak menerangkan dengan terperinci kaedah pemindahan dilaksanakan itu serta risiko yang terbabit.

Antara isu yang masih belum jelas ialah bagaimana untuk mengekal dan mengembalikan aliran darah ke otak atau bagaimana untuk menyambungkan semula sistem saraf parasympathetic, komponen terpenting yang memberikan makhluk bernyawa fungsi dan tindak balas deria secara automatik. - AFP sumber

No comments: