Friday, June 26, 2015

BELANDA - Nabi Muhammad Dihina di Televisyen

THE HAGUE 25 Jun – Seorang ahli politik Belanda sengaja mencetuskan kemarahan umat Islam apabila menyiarkan kartun Nabi Muhammad SAW menerusi siaran televisyen tempatan dan mendakwa kebebasan bersuara perlu mengatasi keganasan.

Geert Wilders yang merupakan seorang anggota parti berhaluan kanan, Parti Kebebasan, menyiarkan kira-kira 10 kartun menghina Nabi Muhammad dalam slot dua minit mengenai isu politik melalui rangkaian televisyen NOS. Wilders mendakwa tindakannya itu sebagai mempertahankan amalan kebebasan bersuara ekoran kes dua militan yang ditembak mati di Texas, Amerika Syarikat (AS) pada bulan lalu membantah pertandingan melukis karikatur Nabi Muhammad.

Ekoran kontroversi yang dicetuskan ahli politik terbabit, jurucakap Majlis Rakyat Maghribi di Belanda, Aissa Zanzen berkata, tindakan Wilders itu dilihat sengaja membangkitkan kemarahan umat Islam, terutamanya pada bulan Ramadan ini.

 “Tindakannya itu hanya lebih kepada mencari publisiti murahan, dan umat Islam perlu mengabaikannya,” kata beliau. Sebelum ini, Wilders pernah mencetuskan kontroversi apabila mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan kebencian, apabila beliau sanggup berbuat apa sahaja untuk memastikan jumlah rakyat Maghribi di Belanda dikurangkan.

Susulan kontroversi terbaharu yang dicetuskan Wilders itu, Kedutaan Belanda di luar negara dinasihatkan mengambil langkah keselamatan ekoran bimbang bantahan umat Islam berhubung penyiaran kartun tersebut.

Seorang jurucakap pejabat pendakwa raya Belanda yang enggan dikenali berkata, pihaknya akan menyiasat insiden berkenaan jika menerima laporan tentang tindakan Wilders menghina Nabi Muhammad dan menyinggung perasaan Umat Islam. – AFP  sumber

No comments: