Tuesday, June 9, 2015

ESA Rancang Bina Perkampungan di Bulan

LONDON 8 Jun - Agensi Angkasa Eropah (ESA) merancang pembi­naan sebuah perkampu­ngan angkasa di bulan yang menyerupai rumah kediaman watak rancangan kanak-kanak terkenal ‘Teletubbies’, bagi me­nggantikan Stesen Angkasa An­tarabangsa (ISS).

Portal berita Daily Mail melaporkan, penyelidik ESA, Profesor Jan Woerner berkata, pem­binaan kampung digelar ‘Lunarville’ itu dijangka siap pada 2024 dan akan mencetuskan satu inovasi yang terhebat.

“Kerja-kerja pembinaan ste­sen di bulan itu akan mencetuskan satu lonjakan besar dalam teknologi inovasi di Bumi. “Bahagian belakang bulan, yang tidak dapat dilihat dari Bumi, akan menyediakan kea­daan terbaik untuk penyelidikan apabila beberapa buah teleskop akan diletakkan bagi menyediakan pandangan yang tidak terganggu ke dalam ruang angkasa,” kata Woerner.

Tambahnya lagi, untuk permulaan, bahan pembinaan dan makanan akan menjadi ke­utamaan. Air pula katanya akan dihasilkan daripada gas Hidrogen, sementara tanaman mungkin boleh ditanam di rumah hijau.

“Para penyelidik akan kekal berada di angkasa untuk beberapa bulan dalam satu-satu masa. Sebuah perkhidmatan pengangkutan ulang-alik secara tetap perlu diwujudkan dalam kes kecemasan perubatan,” ujarnya.

Namun, kos untuk membinanya terbukti menjadi halangan terbesar berbanding kea­daan persekitaran yang tidak dijangka di angkasa. Lebih 75 bilion pound (RM429 bilion) diperlukan untuk membina ISS sebelum ini, dan kos pembinaan sebuah perkampungan di bulan mungkin menelan belanja lebih dari itu.

Bagaimanapun, Woerner berasa sangat yakin bahawa beberapa negara akan saling membantu untuk membinanya dan Universiti Teknikal Darmstadt di Jerman sedang mereka bentuk kediaman untuk dibina di sana.  sumber

No comments: