Tuesday, June 9, 2015

IS Cuba Huru-harakan HAMAS

Gambar bertarikh 5 Mei lalu, menunjukkan seorang pegawai polis

GAZA CITY 8 Jun – Pergerakan Hamas berdepan ancaman baharu ekoran kemunculan kumpulan penyokong militan Negara Islam (IS) di Genting Gaza yang dilihat sengaja melancarkan provokasi terhadap Israel bagi meningkatkan tekanan dan memalukan pejuang Palestin itu.

Walaupun kemunculan kumpulan berfahaman Salafi itu tidak cukup kuat untuk mengancam kedudukan Hamas sebagai pemerintah Gaza, tetapi kehadiran mereka memberi kesan buruk kepada imej dan kredibiliti pergerakan Palestin itu yang dituduh terlibat dalam siri serangan roket ke tanah jajahan rejim Zionis sejak beberapa minggu lalu. Kumpulan pelampau itu juga dilaporkan bertanggungjawab dalam siri serangan bom di beberapa pusat keselamatan Hamas, sekali gus mencetuskan konflik dalaman di wilayah Gaza yang masih dihantui peperangan selama 50 hari dengan Israel pada tahun lalu. Hamas secara umumnya bertolak-ansur dengan kemunculan fahaman Salafi di Gaza sejak 10 tahun lalu walaupun kedua-dua kumpulan berkenaan pernah terlibat dalam beberapa siri persengketaan sehingga memaksa pergerakan Palestin itu memansuhkan kumpulan pelampau terbabit secara senyap. Namun sejak beberapa bulan lalu, kumpulan Salafi memberanikan diri untuk mengagungkan kebangkitan militan IS sebagai mengambil kesempatan terhadap pentadbiran Hamas yang lemah akibat perang pada tahun lalu dan sekatan yang dikuatkuasakan oleh Israel dan Mesir.

Penganalisis melaporkan, kira-kira 1,000 pengikut fahaman Salafi yang setia kepada militan IS, berpotensi mencetuskan masalah kepada pergerakan Hamas dengan menyebarkan sentimen anti-Hamas dan melancarkan serangan roket ke Israel bagi menggugat perjanjian gencatan senjata yang dimeterai pada tahun lalu.

Bagaimanapun pergerakan Hamas bertindak pantas memerangi ancaman baharu itu dengan memburu pemimpin kumpulan radikal, memusnahkan lokasi penyebaran ideologi, menahan berpuluh-puluh aktivis pro-IS dan melancarkan serbuan rumah ke rumah untuk merampas senjata.

Pihak keselamatan Hamas juga melancarkan operasi sekatan jalan pada waktu malam untuk memburu suspek yang terlibat dalam gerakan menyebarkan ideologi IS di Gaza. Pegawai Hamas, Mushir al-Masri berkata, tindakan tersebut merupakan jalan terakhir bagi memastikan keamanan di Gaza dapat dikekalkan. – AGENSI  sumber

No comments: