Sunday, June 28, 2015

IS Mengaku Serang Pusat Peranginan, 40 Maut

TUNIS 27 Jun – Kumpulan militan Negara Islam (IS) hari ini mengaku bertangungjawab terhadap pembunuhan beramai-ramai di sebuah pusat percutian popular di Tunisia yang menyaksikan hampir 40 orang terbunuh dalam satu kejadian dekat bandar Sousse, semalam. Terdahulu, kumpulan itu turut mengaku bertanggungjawab mengebom sebuah masjid Syiah di Kuwait yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh dan lebih 200 lagi cedera termasuk serangan di sebuah kilang gas di Perancis yang mengakibatkan seorang mangsa dipenggal.

Dalam serangan di Tunisia, IS menamakan penyerang ber­kenaan sebagai Abu Yahya al-Qirawani dan mendakwa suspek berjaya menyelinap ke dalam Hotel Riu Imperial Marhaba di bandar tepi pantai Sousse. IS turut memuat naik gambar penyerang itu, namun saksi yang berada di tempat kejadian mendakwa, mereka tidak dapat mengesahkan sama ada lelaki bersenjata yang mereka lihat sama dengan imej yang diedarkan kumpulan tersebut.

 Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Tunisia, Mohammed Ali Aroui berkata, penyerang merupakan seorang pelajar tempatan yang akan menerima sarjana kejuruteraan dari bandar Kairouan. Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Tunisia, kebanyakan mangsa yang terkorban merupakan pelancong dari Britain, Jerman, dan Belgium. Bagaimanapun, pihak berkuasa Tunisia tidak menamakan suspek tersebut, lapor portal berita CNN.

Dalam perkembangan berkaitan, Tunisia dalam langkah pencegahan bercadang untuk menutup sebanyak 80 buah masjid yang berada di luar pengawasan pihak berkuasa negara itu. Perdana Menteri, Habib Essid berkata, tindakan itu dibuat selepas masjid terbabit didapati menghasut keganasan kepada umat Islam.

Sementara itu di Sousse, kebanyakan pelancong didapati telah mengemas bagasi mereka untuk keluar dari lokasi tersebut, sehari selepas serangan berlaku, lapor portal Al Jazeera. Sebuah syarikat perkhidmatan pelancongan Jerman, TUI menyatakan, pihaknya sedang menguruskan penerbangan kepada pelancong yang mahu keluar dari Tunisia dan mereka yang telah menempah percutian untuk musim panas ini boleh membuat tempahan semula atau membatalkan trip percutian berkenaan tanpa sebarang caj.

 Sousse yang terletak bandar Hammamet dan Kepulauan Djerba merupakan pusat percutian yang menjadi tumpuan pelancong khasnya dari Eropah dan negara Afrika Utara. sumber

No comments: