Tuesday, June 30, 2015

MALAYSIA Gesa Hentikan Perang di SUDAN



KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa semua pihak di Sudan untuk segera menghentikan semua serangan ke atas orang awam dan anggota pasukan pengaman dan kemanusiaan di Darfur. Timbalan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Siti Hajjar Adnin, berkata Malaysia amat bimbang dengan keadaan keselamatan di Darfur, seperti yang ditunjukkan oleh peningkatan dalam pertempuran antara pasukan bersenjata Sudan dan kumpulan bersenjata, konflik antara kaum dan kejadian kegiatan merompak dan jenayah.

Beliau berkata, menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), konflik yang bertambah buruk menyebabkan peningkatan sebanyak 130,000 orang pelarian dalam negara yang baharu terutamanya di kawasan Jebel Marra. "Kami ingin mengingatkan semua pihak dalam konflik itu berhubung tanggungjawab mereka di bawah hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan. Kami berpegang kepada pandangan bahawa pelaku jenayah sedemikian mesti bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan pada taklimat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu tentang Sudan dan Selatan Sudan di New York, semalam. Kenyataan beliau difakskan kepada Bernama di sini, hari ini. Siti Hajjar berkata, Malaysia juga bimbang bahawa Misi Pertubuhan Bangsa Bersatu-Kesatuan Afrika di Darfur (UNAMID) terus menghadapi sekatan pergerakan, penafian akses dan serangan terhadap kakitangannya. Beliau berkata, Malaysia juga menggesa kerajaan Sudan untuk segera menyiasat dan bertindak sewajarnya berhubung laporan beberapa pelanggaran Status Pasukan (SOFA). "Kami memuji UNAMID, berdasarkan cabaran-cabaran ini, menjadi teguh dan tegas dalam berusaha untuk mencapai objektifnya yang strategik," kata beliau.


Beliau berkata, Malaysia yakin bahawa tidak ada penyelesaian tentera kepada konflik di Darfur dan mengutuk sebarang tindakan yang bertujuan menggulingkan kerajaan Sudan secara paksa. "Kami menggalakkan kerajaan Sudan untuk melancarkan semula rundingan langsung dengan pihak-pihak yang berkonflik dan seterusnya menggalakkan pihak-pihak terbabit untuk kembali ke meja rundingan dan untuk melibatkan diri secara membina.

Berkenaan dengan konflik antara kaum, dan konfik antara puak, kami menggalakkan kerajaan Sudan untuk melihat ke dalam dan menangani punca pertikaian dengan berkesan," katanya. Siti Hajjar berkata, Malaysia berpendapat bahawa usaha oleh kerajaan Sudan untuk menunjukkan pematuhan kepada resolusi Majlis Keselamatan yang berkaitan dan komitmen mereka untuk menangkap mereka yang bertanggungjawab melanggar hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, akan menyumbang secara positif ke arah membina kepercayaan dan keyakinan. - BERNAMA SUMBER

No comments: