Monday, June 29, 2015

OIC Bimbang Hak Muslim Xinjiang Dicabul

JEDDAH 28 Jun – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menyuarakan kebimbangan terhadap laporan media dan pertubuhan antarabangsa berhubung dakwaan pelanggaran hak asasi terhadap masyarakat minoriti Islam di wilayah Xinjiang, China, ketika umat Islam di seluruh dunia menunaikan ibadah puasa bulan Ramadan.

 Portal berita Arab News yang memetik kenyataan OIC berkata, kerajaan tempatan Xinjiang dilapor tidak membenarkan umat Islam di wilayah berkenaan menjalankan ibadah puasa dan ibadah lain sepanjang bulan suci tersebut. “Hak asasi masyarakat minoriti Islam di Xinjiang perlu dilindungi dan mereka perlu dibenarkan mengamalkan hak kebebasan beragama tanpa diganggu menerusi arahan langsung atau tidak langsung,” tambah kenyataan itu, semalam.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Agung OIC, Iyad Madani turut menggesa kerajaan pusat China menyiasat perkara tersebut dan memastikan keselamatan penduduk minoriti Islam untuk mengamalkan kebebasan agama berdasarkan undang-undang antarabangsa yang ditetapkan.

 China mengharamkan penduduk Islam di wilayah Xinjiang terutamanya penjawat awam, pelajar dan guru berpuasa pada bulan Ramadan dan mengarahkan restoran dibuka seperti biasa. “Perkhidmatan penyediaan makanan di tempat kerja akan beroperasi seperti biasa pada bulan Ramadan,” lapor satu notis yang disiarkan menerusi laman web Pentadbiran Makanan dan Dadah di daerah Jinghe, Xinjiang. Pegawai kerajaan di daerah Bole juga menerima arahan supaya tidak berpuasa atau melakukan aktiviti keagamaan sepanjang bulan Ramadan. sumber

No comments: