Tuesday, June 16, 2015

PAKISTAN Bunuh 2700 Militan dalam Setahun



ISLAMABAD: Tentera Pakistan, semalam melaporkan sudah membunuh lebih 2,700 militan sejak permulaan operasi besar-besaran di sempadan Afghanistan sejak setahun lalu dengan serangan udara terbaharu mengorbankan 20 militan. Serangan pada Sabtu itu berlaku di kawasan Datta Khel di wilayah puak Utara Waziristan. "Sekurang-kurangnya 20 pengganas terbunuh dalam serangan udara," kata tentera dalam satu kenyataan, tanpa memberikan identiti mereka yang terbunuh atau untuk siapa mereka berjuang.

Kawasan diserang itu adalah kubu kuat Taliban dan militan asing yang dikaitkan dengan al-Qaeda. Wartawan tidak boleh mengakses zon konflik itu, menjadikannya sukar untuk mengesahkan jumlah dan identiti mereka yang terbunuh.

Tentera memulakan kempen besar-besaran terhadap Taliban dan kubu kuat militan lain di Utara Waziristan pada Jun tahun lalu. Jurucakap tentera, Mejar Jeneral Asim Bajwa, berkata sehingga kini, 2,763 pengganas terbunuh dengan 837 tempat persembunyian dimusnahkan. Beliau berkata, operasi kini beralih ke beberapa kawasan kecil dekat sempadan Pakistan-Afghanistan.

Pakistan berdepan pemberontakan Islam di negara sendiri selama lebih sedekad berikutan penjajahan diterajui Amerika Syarikat pada lewat tahun 2001 di Afghanistan. Sejak itu, pihak berkuasa berjanji untuk meningkatkan operasi, menggunakan serangan udara, meriam artileri dan mortar untuk menawan balik wilayah kawasan sempadan serta beberapa bahagian lain negara itu. - AFP sumber

No comments: