Tuesday, June 30, 2015

TUNISIA Buru Suspek Secara Besar-besaran

Anggota pasukan keselamatan Tunisia memeriksa sebuah kenderaan

TUNIS 29 Jun – Polis Tunisia semalam melancarkan gerakan besar-besaran memburu suspek yang dipercayai terlibat dalam serangan berdarah di kawasan pelancongan popular Sousse, selatan negara ini pada Jumaat lalu. Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Mohamed Ali Aroui dalam kenyataannya berkata, operasi terbabit dilancarkan berdasarkan sumber risikan yang percaya pen­yerang, Seifeddine Rezgui, 23, mempunyai rakan subahat dalam serangan yang meragut 38 nyawa.

 Jelas Ali, bapa dan tiga rakan sebilik Seifeddine telah ditahan dan disiasat di Tunis bagi membantu siasatan berhubung tragedi berdarah itu. “Kami percaya Seifeddine yang merupakan pelajar jurusan penerbangan di Universiti Kairouan, dibantu oleh orang lain yang tidak terlibat secara langsung dalam serangan itu. “Hasil siasatan awal juga me­nunjukkan suspek memberikan senapang jenis Kalashnikov kepada Seifeddine dan membantunya tiba ke lokasi serangan,” kata Ali seperti yang dilaporkan portal Al Jazeera.

Militan Negara Islam (IS) mengaku bertanggungjawab dalam serangan itu, tetapi kerajaan Tunisia mempertikaikan kesahihan laporan berkenaan. Dalam kejadian Jumaat lalu, seramai 38 orang terbunuh, kebanyakannya pelancong Britain apabila Seifeddine yang bersenjatakan Kalashnikov melepaskan tembakan secara rambang ke arah kumpulan pelancong di tepi pantai Sousse sebelum pihak polis menembak mati suspek. -sumber

No comments: