Monday, June 29, 2015

TUNISIA - Mungkin 30 Warga BRITAIN maut

LONDON: Bilangan mangsa dalam kalangan warga Britain dalam kejadian serangan pengganas di Tunisia mungkin meningkat kepada 30 orang, kata laporan dalam media negara itu hari ini. Mengikut Kementerian Luar, angka rasmi kematian warga British setakat ini ialah 15 orang, tetapi tidak menolak kemungkinan angka itu mungkin meningkat.

Seorang jurucakap kementerian yang dihubungi enggan mengulas lanjut. Sekurang-kurangnya 38 terbunuh termasuk tiga warga Ireland, Belgium (seorang) dan masing-masing seorang dari Portugal dan Jerman apabila seorang lelaki membuat tembakan rambang terhadap pelancong di sebuah resort pantai di Sousse, Tunisia pada Jumaat lalu.

Serangan di Tunisia adalah antara kejadian terburuk membabitkan kehilangan nyawa warga Britain selepas serangan pengganas menerusi pengembom bunuh diri pada Julai 2005 yang menyebabkan 52 terbunuh.

Dalam pada itu di TUNIS, kerajaan Tunisia mengumumkan 1,000 polis bantuan dikerahkan ke kawasan pelancongan dan pantai di negara utara Afrika itu. Menteri Dalam Negeri, Najem Gharsalli, berkata ia adalah langkah berwaspada selepas serangan pengganas paling teruk negara itu Jumaat lalu. Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan tidak mahu menjadikan kawasan pelancongan seperti markas tentera, namun perlu bertindak untuk menjamin keselamatan sektor pelancongan negara itu.

Beribu-ribu pelancong sudah keluar dari Tunisia, sejak kelmarin selepas insiden serangan itu manakala beratus-ratus lagi pulang, semalam. Serangan terhadap pelancong dijangka menjadi tamparan hebat sektor pelancongan Tunisia, yang mewakili hampir 15 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu pada 2014.

Perdana Menteri Tunisia, Habib Essid sebelum itu berkata 'kebanyakan' mangsa yang terkorban adalah warga British, diikuti warga Jerman, Belgium dan beberapa negara lain. Seorang pelajar penerbangan berusia 23 tahun dikatakan bertanggungjawab terhadap serangan itu. - Agensi sumber

No comments: