Sunday, July 12, 2015

23 Maut Berebut Baju Raya Percuma



DHAKA: Sekurang-kurangnya 23 maut di Bangladesh akibat dipijak dan sesak nafas apabila ratusan penduduk miskin berebut mendapatkan pakaian percuma bagi sambutan Aidilfitri. Polis Bangladesh berkata, ketika kejadian seramai 1,500 orang berkumpul di luar sebuah kilang sejak awal pagi selepas pemilik kilang yang juga seorang hartawan mengumumkan akan mengedarkan pakaian percuma kepada orang miskin.

Kejadian di utara Bandar Mymensingh berlaku apabila mereka yang bersesak-sesak merempuh sebuah gudang yang menempatkan pakaian termasuk kasut dan keperluan yang lain dan dalam keadaan gudang yang sempit menyebabkan berlakunya tolak menolak. Rakaman stesen televisyen tempatan juga menunjukkan bukan saja menyebabkan kematian tetapi turut memusnahkan pelbagai barangan dan merosakkan hampir keseluruhan kawasan gudang.

 Ketua Polis Mymensingh, Moinul Haque berkata, setakat ini 23 orang disahkan maut dan pihaknya menjangkakan angka maut akan meningkat kerana ramai turut mengalami kecederaan parah. "Selain terdapat juga mayat yang telah dibawa pulang oleh keluarga sebelum pihak berkuasa tiba di tempat kejadian. "Kebanyakan mereka yang maut adalah wanita selain mereka yang lemah dan kurus. Jumlah kecederaan pula lebih daripada 50 orang dan ia mungkin akan meningkat," katanya.

 Seorang saksi memberitahu media tempatan, rempuhan itu bermula apabila beberapa orang terjatuh ketika berebut masuk ke dalam gudang sebelum berlakunya huru-hara. "Oleh kerana pintu dibuka, semua orang berlari masuk sambil menolak dan tarik menarik antara satu sama lain dan kemudian mereka mulai jatuh. "Apabila seorang jatuh, satu lagi jatuh sehinggalah ramai yang terjatuh dan dipijak. Selain itu sebab terlalu ramai ada yang mengalami sesak nafas," katanya.

Pihak berkuasa tempatan berkata, pemilik kilang serta enam orang lain telah ditangkap kerana gagal untuk memastikan keselamatan awam. Gabenor Daerah berkenaan, Mustakim Billah berkata, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka. Satu jawatankuasa khas polis telah ditubuhkan bagi menyiasat tragedi itu dan bersedia untuk melaporkan laporan lengkap dalam tempoh tiga hari akan datang.

Tradisi memberi pakaian percuma ini ibarat tradisi di Bangladesh setiap kali Ramadan, tetapi pemberian sebegini sering mencetuskan beberapa rempuhan maut selama ini. Pada tahun 2002, 40 orang terbunuh dalam rempuhan yang sama di sebuah kilang pakaian di utara bandar Tangail dan kejadian sama berulang pada April 2013 apabila sebuah kilang membuat pakaian runtuh dan menyebabkan kematian lebih 1100 orang. sumber

No comments: