Wednesday, July 29, 2015

MALAYSIA Akan Tolak TPPA?

KUALA LUMPUR 29 Julai - Malaysia tidak akan memeterai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) di mesyuarat menteri-menteri di Hawaii pada 28 hingga 31 Julai ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. Mustapa, yang mengetuai pasukan perunding Malaysia terdiri daripada lebih 20 kementerian dan agensi, berkata: "Permeteraian TPPA tidak akan berlaku di Hawaii."

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, seperti Malaysia, setiap anggota TPPA perlu melalui proses domestiknya sendiri sebelum keputusan akhir untuk memeterai dan mengesahkan perjanjian dibuat. "Sebagai menteri yang bertanggungjawab bagi rundingan TPPA, menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan perlembagaan, kedaulatan dan dasar teras negara kita, termasuk kepentingan masyarakat Bumiputera, dilindungi dan dipertahankan.

 "Objektif kami pada mesyuarat ini adalah untuk memastikan kepentingan dan kebimbangan Malaysia ditangani," katanya. Beliau berkata selepas lima tahun, rundingan TPPA bakal dimuktamadkan dan pada tahap ini negara-negara perlu membuat keputusan yang sukar. "Seperti dalam semua rundingan, keputusan muktamad perlu dibuat," katanya.

Beliau berkata kerajaan mengambil pendirian tegas dalam TPPA, yang mana perlembagaan, kedaulatan dan dasar-dasar teras negara seperti pemerolehan kerajaan, perusahaan milik negara dan agenda Bumiputera akan dilindungi. "Saya menyeru rakyat Malaysia agar berfikiran terbuka tentang TPPA. Memahami bahawa walaupun terdapat kos, namun terdapat juga manfaatnya kepada negara," katanya.

Mustapa berkata maklum balas daripada semua pihak berkaitan TPPA membantu membimbing dan mempengaruhi pendirian rundingannya bagi pelbagai isu yang dibincangkan. Beliau berkata, kemudiannya nanti, dokumen akhir bersama dengan dua analisis kos-dan-manfaat akan dibentangkan kepada umum dan Parlimen. Keputusan sama ada untuk memeterai atau menolak TPPA akan menjadi keputusan bersama rakyat Malaysia, katanya. - BERNAMA  sumber

No comments: