Thursday, July 9, 2015

MICRONESIA - Bolos 114 Gol dalam 3 Perlawanan

MELBOURNE: Pemain muda pasukan Micronesia memerlukan kaunseling selepas melepaskan 114 gol dalam aksi menentang pasukan lemah Kepulauan Pasifik, baru-baru ini.

Begitupun, dalam masa sama, jurulatihnya, Stan Foster berharap kekalahan luar biasa mereka itu mampu menjadi batu loncatan untuk kejayaan pasukan berkenaan pada masa depan.

Micronesia tersingkir daripada temasya Sukan Pasifik dengan kekalahan luar biasa, 46-0 kepada Vanuatu yang berada di ranking ke-200 daripada 209 pasukan dalam senarai Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Sebelum itu, pasukan berkenaan juga dibelasah dengan jumlah gol luar biasa 30-0 oleh Tahiti yang berada di ranking ke-182 dan 38-0 kepada Fiji yang berkedudukan ke-195 dalam senarai FIFA.

Dihimpun dari kumpulan kecil pemain, Micronesia mempunyai kira-kira 100,000 penduduk yang mendiami lebih 600 pulau bertaburan di sekitar Pasifik Barat.

Mengulas lanjut, Foster mengakui dia tiada pilihan untuk dibawa pada temasya Sukan Pasifik di Papua New Guinea itu.

"Saya memilih skuad pembangunan merangkumi golongan remaja, yang mana saya menerima kritikan.
"Tapi jika mereka ini tidak berminat terhadap sukan, sudah tentu saya tidak datang ke sini dan kembali saja ke Australia," kata Foster seperti disiarkan oleh Badan Penyiaran Australia.

"Kemungkinan mereka memerlukan kaunseling," katanya. "Mereka masih muda sebab kurang pendedahan. Kebanyakan mereka tidak pernah keluar dari kampung sehinggalah saya membawanya ke Guam sebagai sebahagian daripada persiapan pasukan ke temasya sukan berkenaan.

"Kebanyakan mereka tidak pernah naik tangga bergerak dan saya terpaksa menunjukkan mereka bagaimana menggunakannya.

"Tapi ini pengalaman menakjubkan - majlis pembukaan, bertemu ramai orang yang hebat - saya fikir banyak kekecewaan yang berlaku di padang, hilang selepas itu.

"Saya jangkakan bakal menerima banyak kritikan daripada orang ramai yang mungkin mengatakan pasukan ini memalukan negara. Namun saya berharap, saya sudah mengambil langkah permulaan ke arah membentuk sebuah pasukan disegani di rantau ini pada masa depan,".

Meskipun lawan Micronesia menjaringkan banyak gol, menunjukkan statistik individu mengagumkan, namun Foster memberitahu pemainnya, dia tetap bangga dengan mereka biarpun apa pun berlaku.
"Mereka tahu awak tidak memiliki kemahiran dan teknikal, namun dalam tempoh 12 hingga 16 tahun akan datang, selepas beberapa temasya Sukan Pasifik, sejarah akan berlaku baik dengan awak," katanya.
Foster berharap pegawai FIFA akan melawat negara kepulauan itu bagi membuka jalan kepada mereka sebagai pengiktirafan dan memberi ranking selain bantuan kewangan.
"Saya tidak boleh melakukannya sendirian," katanya.

"Sepanjang yang saya tahu, saya adalah satu-satunya jurulatih bertauliah di negara itu, dan berharap benar bantuan bagi meningkatkan standard teknikal di kepulauan kerana kami terpisah beratus batu antara satu sama lain,". - REUTERS
  sumber

No comments: