Tuesday, July 28, 2015

Penemuan Al-Quran Tertua Dipertikai

MEKAH 27 Julai - Pakar sejarah dan manuskrip menyuarakan keraguan mereka terhadap dakwaan Universiti Birmingham, baru-baru ini bahawa mereka menemui salinan al-Quran tertua di dunia. Laman web Saudi Gazette memetik kenyataan seorang pakar se­perti yang dilaporkan oleh Makkah Daily, semalam sebagai berkata, manuskrip berkenaan berkemungkinan besar ditulis selepas zaman Nabi Muhammad SAW, berdasarkan kepada beberapa faktor.

Pakar manuskrip, Abdul Sattar Al-Halouji berkata, berdasarkan situasi semasa, dakwaan universiti tersebut tidak lebih hanya mahu meraih publisiti. Menurutnya, kulit haiwan yang digunakan kelihatan sudah lama, namun ayat-ayat al-Quran tersebut mungkin ditulis kemudian. “Tidak dapat dipastikan sama ada ayat-ayat itu ditulis ketika zaman Rasulullah atau tidak. Pihak universiti sepatutnya menjalankan kajian terhadap dakwat yang digunakan dan bukannya mengkaji usia kulit haiwan.

“Ayat al-Quran itu berkemungkinan ditulis pada zaman Saidina Uthman bin Affan yang menjadi khalifah beberapa tahun selepas kewafatan baginda. Pada zaman Nabi Muhammad SAW, al-Quran tidak disusun rapi seperti sekarang, selain itu tiada dakwat warna digunakan ketika itu,” jelas Abdul Sattar.

Pengetua Perpustakaan Universiti Umm Al-Qura, Adnan Al-Sharif berkata, terdapat banyak keraguan terhadap dakwaan Universiti Birmingham itu, termasuk tentang pemisahan antara ayat bismillah dengan surah.

 “Salah satunya adalah dakwat merah yang digunakan untuk memisahkan antara bismillah de­ngan surah Mariam dan Taha. Pemisahan ini tidak berlaku pada zaman Rasulullah dan jelas sekali salinan berkenaan dihasilkan bukan pada zaman junjungan besar (masih hidup),” ujarnya.

Tambah Adnan, ujian radio karbon yang dijalankan ke atas al-Quran tersebut hanya dapat memberi maklumat tentang dekad kewujudannya dan bukan tahun penghasilannya. sumber

No comments: