Wednesday, July 15, 2015

Penganggur Mengaku Tidak Bersalah Curi Telefon Bimbit

KUALA LUMPUR 14 Julai – Seorang penganggur yang dikaitkan dengan kekecohan di Plaza Low Yat, Bukit Bintang tiga hari lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencuri sebuah telefon bimbit jenama Lenovo bernilai RM800.

Shahrul Anuar Abdul Aziz, 22, yang berkulit hitam manis dan bertubuh kurus itu sepanjang prosiding nampak terpinga-pinga dan membuat pengakuan tidak bersalah selepas kali ketiga pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nur’Aminahtul Mardiah Md. Nor. Pada mulanya, tertuduh yang memakai baju T hitam dan seluar jean itu dilihat menghadapi kesukaran untuk memahami pertuduhan pada kali pertama dibacakan.

Namun selepas penerangan diberikan oleh majistret, tertuduh membuat pengakuan salah tetapi dia menukar pengakuannya kepada tidak bersalah selepas peguam Shaharudin Ali yang mewakilinya pula menjelaskan pertuduhan itu. Mengikut pertuduhan, anak bongsu daripada tiga beradik itu didakwa mencuri telefon bimbit jenama Lenovo S860 berwarna hitam milik Techasia Boutique di premis tersebut di Lot UG, K021, Tingkat UG, Plaza Low Yat, Bukit Bintang di sini pada pukul 4.47 petang, 11 Julai lalu. Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan mencadangkan ikat jamin RM5,000 namun Shaharudin memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM3,000 memandangkan tertuduh tidak bekerja dan dia perlu menjaga kedua ibu bapanya yang bisu. Menurut Shaharudin, kedua ibu bapa anak guamnya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) hadir di galeri awam dengan ditemani ahli keluarganya yang lain. “Anak guam saya membantu abangnya menjaga ibu bapanya yang bisu oleh itu saya mohon jaminan yang rendah diberikan supaya tertuduh dapat pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba,” katanya. Nur’Aminahtul Mardiah kemudian membenarkan Shahrul Anuar diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 14 Ogos ini untuk sebutan semula kes. -  sumber

No comments: