Friday, July 31, 2015

Pengebom Mumbai Jalani Hukuman Gantung



NEW DELHI: Suspek utama serangan bom terbesar di India pada 1993, Yakub Memon telah menjalani hukuman mati awal pagi ini, selepas sejam Mahkamah Agung menolak rayuan terakhirnya dalam prosiding pendengaran selama 90 minit. Kerajaan Maharastra, dalam satu kenyataan, mengesahkan bahawa Yakub yang mencecah usia 54 tahun pada hari ini telah menjalani hukuman mati pada pukul 6.43 pagi (pukul 9.15 pagi waktu Malaysia) di Penjara Pusat Nagpur.

Peguamnya memberitahu pemberita, post-mortem dijalankan di Hospital Nagpur sebelum jenazah Yakub diserahkan kepada keluarganya. Satu siri serangan bom di Mumbai pada 1993 menyebabkan 257 orang terbunuh dan lebih 700 cedera. Drama sebelum hukuman mati dilaksanakan bermula apabila ketua hakim H L Dattu bersetuju dengan permintaan peguam Yakub yang datang ke kediaman hakim itu, membentuk panel rayuan tiga anggota pada pukul 2.30 pagi tatkala pihak berkuasa penjara di Nagpur sedang membuat persediaan akhir melaksanakan hukuman gantung yang dijadualkan sebelum pukul 7 pagi.

Prosiding bermula pukul 3.30 pagi dan berakhir sejam setengah kemudian dengan mahkamah menolak rayuan terakhirnya. Kes Yakub mendapat liputan media yang meluas dengan berlaku pertikaian perundangan dan perpecahan pendapat kalangan orang awam terhadap hukuman mati, termasuk bekas Presiden India, Allahyarham Dr APJ Abdul Kalam.

Malam tadi, Presiden Pranab Mukherjee menolak rayuan ihsan kedua selepas Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Maharastra menasihatinya menolak rayuan itu. Semalam, tiga panel hakim menolak petisyen terakhir peguam Yakub yang mencabar waran hukuman mati dan memutuskan bahawa tidak berlaku pencabulan terhadap hak fundamental. Mahkamah Agung juga menolak berlakunya sebarang pencabulan prosedur dengan menyatakan waran yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Mumbai adalah sah. Hakim bersetuju dengan hujah yang dikemukakan oleh Pendakwa Raya Mukul Rohatgi yang mewakili Kerajaan Maharastra. - BERNAMA sumber

No comments: