Monday, July 27, 2015

Pulau Paling Padat di Dunia

Santa Cruz del Islote yang dihuni kira-kira 1,200 orang penduduk

BOGOTA, Colombia 26 Julai – Sebuah pulau kecil di utara negara ini, diiktiraf sebagai pulau paling padat di dunia selepas dihuni kira-kira 1,200 orang penduduk iaitu empat kali ganda lebih padat daripada bandar Manhattan, New York. Mail Online melaporkan, pulau yang dikenali sebagai Santa Cruz del Islote yang terletak kira-kira dua jam perjalanan dari negeri Cartagena, Colombia berkeluasan 2.4 hektar.

Pulau yang ditemui kira-kira 150 tahun lalu oleh sekumpulan nelayan yang mencari hasil laut di sekitarnya itu mempunyai 90 buah rumah, dua buah kedai runcit, sebuah restoran dan sebuah sekolah. Oleh kerana keluasannya yang agak terhad berbanding penduduk yang ramai, kawasan ber­kenaan tidak mempunyai tapak perkuburan dengan mereka yang meninggal dunia akan disemadikan di pulau-pulau berhampiran.

Pulau Santa Cruz del Islote tidak mempunyai kemudahan asas seperti sistem saliran dan elektrik, di mana air bersih diperolehi daripada sumbangan tentera laut Colombia yang menghantarnya setiap tiga minggu sekali. Sementara itu, bekalan elektrik diperolehi melalui satu mesin janakuasa yang hanya beroperasi selama lima jam sehari.

 Satu-satunya bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri kepada penduduk di pulau berkenaan adalah perkhidmatan pengawal ke­selamatan yang bertanggungjawab memantau keselamatan kira-kira 80 orang pelajar sekolah di pulau itu. Kebanyakan penduduk bekerja sebagai nelayan, selain menjadi pemandu pelancong kepada mereka yang terpesona dengan keindahan pulau berkenaan. -sumber

No comments: