Thursday, July 2, 2015

YAMAN - 31 Orang Awam Terbunuh



ADEN: Kumpulan pemberontak membedil kawasan kediaman di bandar kedua terbesar Aden menyebabkan lebih 30 orang awam terbunuh dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan darurat kemanusiaan di negara konflik itu.

 Sementara itu, di pusat bandar Taez, askar prokerajaan pula melancarkan operasi memburu lebih 1,200 banduan yang bolos dari penjara. Kedua-dua bandar, Aden dan Taez sering tercetusnya perbalahan antara pihak yang setia dengan Presiden Abedrabbo Mansour Hadi bagi menangani puak pemberontak Syiah, Huthi dengan sokongan tentera pakatan diketuai Arab Saudi sejak Mac lalu.

Aden menjadi benteng terakhir Hadi sebelum beliau meninggalkan Yaman ke negara jiran, Arab Saudi pada Max dengan penyokongnya masih mempertahankan bandar itu daripada dirampas pemberontak. Serangan semalam menyaksikan pejuang Huthi dan sekutunya membedil Daerah Al-Mansura di Aden dengan 15 roket jenis Katyusha, demikian menurut jurucakap tentera kerajaan, Ali al-Ahmadi. Roket dilancarkan sebelum subuh apabila jalan raya masih sibuk dengan orang ramai yang berpuasa di bulan Ramadan.

Ketua Kesihatan Aden, Al-Khader Laswar berkata sekurang-kurangnya 31 terbunuh termasuk tiga wanita dan dua kanak-kanak manakala lebih 100 cedera. Orang ramai kelihatan mengusung mereka yang cedera untuk dimasukkan ke dalam kenderaan bagi dikejarkan ke hospital. Sepanjang malam, kedudukan utama pemberontak berdekatan Dar Saad dan Khor Maksar ditembak oleh beberapa siri serangan udara tentera Arab Saudi.

Seorang pegawai kerajaan berkata, dalam serangan tentera pakatan di Wilayah Lahj, seramai 13 pemberontak dilaporkan maut. Dalam menangani isu kemanusiaan, PBB mengisytiharkan Yaman pada tahap ketiga darurat, iaitu peringkat yang tertinggi. Ketua Bantuan Kemanusiaan PBB, Stephen O'Brien menemui ketua agensi yang terbabit untuk membincangkan perkembangan terbaharu krisis di Semenanjung Arab.

"Semua agensi bersetuju untuk mengisytiharkan tahap ketiga untuk tempoh enam bulan," kata jurucakap PBB, Farhan Haq. Lebih 21.1 juta penduduk di Yaman dengan lebih 80 peratus kini memerlukan bantuan termasuk 13 juta yang sedang berdepan dengan kekurangan makanan. Haq berkata, menerusi pelan kecemasan, PBB akan cuba berhubung dengan 11.7 juta penduduk yang amat memerlukan bantuan. "Sistem kesihatan lumpuh dengan penutupan sekurang-kurangnya 160 kemudahan rawatan, kekurangan minyak dan bantuan lain," katanya. - AFP sumber

No comments: