Sunday, August 30, 2015

153 Pendatang Asing Terbunuh

TRIPOLI 28 Ogos – Krisis pendatang asing tanpa izin di Eropah semakin buruk apabila dua insiden besar berasingan semalam mengorbankan nyawa lebih 150 golongan tersebut.

 Dalam kejadian pertama di pantai Zuwara, barat Libya, sebanyak 82 mayat dijumpai selepas sebuah bot terlebih muatan karam ketika dipercayai mahu ke Malta, Itali, dan beberapa negara Eropah lain. Agensi berita Xinhua melaporkan pegawai pengawal pantai berkata, ketika kejadian, bot berkenaan membawa kira-kira 400 orang penumpang dan sehingga kini 201 orang daripadanya berjaya diselamatkan dan telah ditempatkan pusat penahanan pendatang asing berhampiran bandar Sabratha.

 “Setakat ini kami menemukan 82 mayat. Kira-kira 100 lagi masih hilang,” jelas pegawai pengawal pantai. Pegawai berkata, pendatang a­sing terbabit berasal dari selatan Sahara, Pakistan, Maghribi, Syria, dan Bangladesh.

Dalam insiden kedua pula, sebanyak 71 mayat dipercayai rakyat Syria, ditemukan di dalam sebuah trak di tepi lebuh raya di Austria, yang menghubungkan Vienna dan Budapest. Xinhua melaporkan, mangsa terdiri daripada 59 orang lelaki, lapan wanita, tiga kanak-kanak lelaki ber­usia 8-10 tahun, dan seorang bayi perempuan berumur antara satu hingga dua tahun.

Jelas polis tempatan, pihaknya turut menemukan dokumen perjalanan dari Syria dalam trak tersebut yang telah berada di tepi lebuh raya berkenaan selama 24 jam. Tiga suspek telah ditahan di Hungary. Seorang daripadanya memiliki kerakyatan Lebanon dan Bulgaria yang juga disyaki pemilik trak, sementara dua lagi masing-masing adalah rakyat Bulgaria dan Hungary. Lori itu dijumpai di tepi lebuh raya tersebut kira-kira pukul 6 pagi waktu tempatan, dan mayat-mayat dijum­pai pada pukul 11.30 pagi waktu tempatan apabila bahagian belakangnya dibuka.

Sehingga Julai tahun ini kira-kira 150,000 pendatang asing tanpa izin berjaya menyusup masuk ke Eropah melalui jalan laut. – BERNAMA/AGENSI -  sumber

No comments: